TINJAUANSatu elemen penting kawal selia berasaskan pasaran adalah pengawasan yang kukuh terhadap pengantara pasaran dan penguatkuasaan yang berkesan. Penguatkuasaan yang berkesan ke atas undang-undang sekuriti memastikan bahawa hak pelabur dilindungi, dan keyakinan terhadap integriti pasaran sentiasa dikekalkan. Ini dapat menaikkan kualiti perkhidmatan kewangan di negara ini dan menggalakkan lebih lagi keyakinan terhadap pasaran modal. Bawah undang-undang sekuriti, Suruhanjaya dilengkapi dengan kuasa penguatkuasaan yang, antara lain, termasuklah kuasa untuk memulakan penyiasatan, menjalankan pendakwaan jenayah dengan izin Pendakwa Raya, memulakan prosiding sivil untuk mendapatkan semula kerugian wang daripada mereka yang melakukan kesalahan tersebut, mengenakan kompaun bagi kesalahan tertentu, memohon kepada mahkamah bagi perintah sekatan berhubung dengan aktiviti mereka yang berlesen, mengenakan penalti kompaun, menggantung atau membatalkan lesen mereka yang berlesen, malah memohon perintah mahkamah bagi menyingkirkan pengarah kerana melanggar undang-undang sekuriti. Suruhanjaya, dalam melaksanakan peranannya sebagai penguat kuasa undang-undang sekuriti, berazam untuk mengambil tindakan yang bertepatan masa, saksama dan membawa hukuman penalti yang mencukupi.
|