Akta Garis Panduan, Kod & Nota Amalan Siaran Akhbar Ucapan & Artikel Soalan Lazim
Kertas Rundingan/
Pembentangan
Data & Statistik Penerbitan Pautan Perpustakaan SC
Pangkalan Data Unit Amanah Laman Utama            

SIARAN AKHBAR

Kuala Lumpur, 13 September 2007

SC sekat laman web baru Swisscash— Mengingatkan pelabur agar sentiasa berhati-hati

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk membanteras skim pelaburan tidak sah, Suruhanjaya Sekuriti (SC), bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan CyberSecurity Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai NISER), telah menyekat akses kepada laman web Swisscash baru yang menawarkan skim pelaburan tidak sah yang dipromosikan oleh Swiss Mutual Fund.

Laman web baru tersebut, www.swisscashguide.com, muncul baru-baru ini di Internet di tengah-tengah usaha proaktif dan berterusan SC untuk menyekat laman web pelaburan tidak sah sedemikian.

Tindakan terbaru ini merupakan sekatan keempat membabitkan laman web yang berkaitan dengan Swisscash. Pada awal bulan Jun lalu, SC telah menyekat tiga laman web yang serupa iaitu www.swisscash.net, www.swisscash.biz dan www.swissmutualfund.biz.

Para pelabur diingatkan sekali lagi bahawa SC tidak memberikan lesen kepada sama ada Swiss Mutual Fund ataupun Swisscash. Malah, aktiviti Swiss Mutual Fund/Swisscash telah diisytiharkan sebagai tidak sah di beberapa negara lain seperti Jamaica dan China.

Orang ramai juga digesa supaya tidak mudah tertipu dengan pengusaha skim dan ejen mereka yang menjanjikan bahawa pulangan akan dibayar kepada pelabur melalui SMS atau surat, atau setelah laman web mereka tidak disekat lagi.

SC akan terus mengambil semua langkah untuk memerangi skim penipuan pelaburan termasuk menyekat akses kepada lebih banyak laman web, dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sepatutnya terhadap pengusaha dan ejen mereka.

Dalam pada itu, dalam satu kes sivil yang difailkan oleh SC terhadap individu di belakang Swisscash, mahkamah menetapkan 24 September 2007 untuk mendengar injunksi inter parte Mareva bersama-sama dengan satu permohonan yang difailkan oleh SC bagi mendapatkan perintah mengarahkan salah seorang defendan, Amir Hassan, untuk memindahkan semula wangnya di luar negara ke Malaysia.

SC pada 21 Jun 2007 memperoleh satu injunksi antarabangsa Mareva terhadap individu yang terbabit dalam skim penipuan pelaburan Swisscash, menghalang mereka daripada melupuskan aset mereka di dalam dan di luar Malaysia. Mareva menghendaki defendan menzahirkan maklumat yang berkaitan dengan semua aset sama ada di dalam atau di luar Malaysia, syarikat-syarikat yang telah mereka tubuhkan, dan akaun bank yang mereka uruskan.

Defendan lain dalam saman sivil ini ialah Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe, Dynamic Revolution Sdn Bhd, Swiss Mutual Fund (1948) S.A., SMF International Limited dan SMF (1948) International Limited.

 

SURUHANJAYA SEKURITI