Akta Garis Panduan, Kod & Nota Amalan Siaran Akhbar Ucapan & Artikel Soalan Lazim
Kertas Rundingan/
Pembentangan
Data & Statistik Penerbitan Pautan Perpustakaan SC
Pangkalan Data Unit Amanah Laman Utama            

SIARAN AKHBAR

Kuala Lumpur, 18 November 2008

Institusi kewangan global memilih Malaysia sebagai hab pengurusan dana Islam

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meluluskan dua permohonan daripada institusi kewangan terkemuka untuk menubuhkan operasi pengurusan dana Islam mereka di Malaysia, mengesahkan minat yang semakin bertambah di kalangan peserta pasaran antarabangsa untuk menjadikan Malaysia hab global bagi aktiviti pengurusan dana Islam mereka.

Kedua-dua institusi tersebut, Reliance Asset Management dan Global Investment House, menyertai tiga lagi pengurus dana Islam antarabangsa yang telah pun dilesenkan oleh SC, iaitu Kuwait Finance House (Malaysia), DBS Asset Management dan CIMB Principal Islamic Asset Management.

Selain itu, SC sedang menyemak permohonan oleh institusi kewangan antarabangsa lain yang berminat untuk menjadikan Malaysia pusat serantau dan global mereka bagi aktiviti pengurusan dana Islam.

“SC terbabit secara aktif dalam mewujudkan kerangka kerja tersebut serta berhubungan dengan pengurus dana antarabangsa dan institusi kewangan terkemuka untuk menubuhkan operasi pengurusan dana Islam mereka di Malaysia. Kami yakin bahawa usaha ini akan memperlihatkan pertumbuhan positif dalam dana patuh Syariah yang diuruskan di Malaysia, sejajar dengan keseluruhan inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat global bagi pengurusan dana Islam,” kata Pengerusi SC, Dato’ Sri Zarinah Anwar.

Dalam memberikan kelulusan tersebut, SC telah mengambil kira, antara lain, skop operasi yang akan diwujudkan oleh kedua-dua syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) tersebut di Malaysia, pengalaman pengurusan dana dan perbankan mereka, nilai jenama, kepakaran dalam pelbagai pasaran, kedudukan geografi, dan pematuhan dan kebolehan pengurusan risiko.

Reliance Capital Asset Management merupakan syarikat pengurusan aset terbesar di India dalam soal aset bawah pengurusan dan menguruskan dana yang dilancarkan oleh Reliance Mutual Fund, yang merupakan rumah dana bersama terbesar di India.

Global Investment House yang berpangkalan di Kuwait pula merupakan syarikat pengurusan aset dan perbankan pelaburan terkemuka dengan taburan meluas rangkaian kerja meliputi 16 negara merentasi Majlis Kerjasama Teluk (GCC), rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), dan pasaran membangun lain.  

Kerajaan, ketika pembentangan Belanjawan 2008, mengumumkan bahawa IFMC dibenarkan mempunyai 100% pemilikan asing. Pengumuman itu adalah sebahagian daripada langkah peliberalan yang sedang berjalan dalam pasaran modal serta sebagai pelengkap kepada inisiatif MIFC yang lebih luas dalam meletakkan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa.

 

SURUHANJAYA SEKURITI