PRESS RELEASE

SC bertindak tegas terhadap pengarah PN4 yang bersalah; pesalah akan dihukum

Pemantauan dan pengawasan teliti terhadap syarikat PN4 oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendedahkan pelbagai pelanggaran undang-undang dan salah urus oleh pengarah dan pegawai kanan syarikat-syarikat ini.

Pegawai penguatkuasaan utama SC, Timbalan Ketua Eksekutif Datin Zarinah Anwar, berkata pesalah akan dihukum dengan sewajarnya.

Beliau mengingatkan bahawa SC tidak akan menghentikan aktiviti penguatkuasaannya – tindakan akan diambil terhadap pesalah walaupun syarikat PN4 itu akhirnya akan dinyah senarai.

“Penyahsenaraian tidak akan membebaskan pesalah yang melakukan penipuan dan salah urus. Mereka juga tidak terlepas daripada dihukum kerana pihak penyelamat telah pun tiba untuk menyelamat syarikat ini,” kata beliau.

Datin Zarinah berkata sejak dua tahun yang lalu, SC telah memeriksa buku-buku 31 syarikat PN4.

“Kita hanya menunggu masa untuk menyelesaikan pemeriksaan keseluruhannya,” kata Datin Zarinah.

Beliau berkata kesalahan yang didedahkan daripada penyiasatan ini termasuk dagangan orang dalam dan manipulasi pasaran serta pelanggaran tadbir urus korporat seperti pembelian aset pada harga tinggi atau menjual aset pada nilai rendah, mengemukakan maklumat palsu/mengelirukan, skim-skim penipuan dan penyalahgunaan hasil kutipan pelaksanaan penjanaan modal.

Penyiasatan ke atas syarikat PN4 menghasilkan 12 pendakwaan yang membabitkan 18 individu. Daripada jumlah tersebut, empat individu telah disabitkan kesalahan sementara yang lainnya masih dalam perbicaraan atau perbicaraan belum dimulakan.

Personaliti korporat menonjol yang telah didakwa termasuk, Dato’ Tiah Thee Kian, Dato’ Soh Chee Wen, Low Thiam Hock dan Dato’ Ishak Ismail.

Sepanjang bulan lepas sahaja, kita telah mendakwa pengarah dan pegawai kanan tiga syarikat PN4 – Tat Sang, Gensoil dan Actacorp.

SC juga telah mengarahkan syarikat-syarikat seperti CSM Corporation Berhad menyatakan semula penyata kewangan mereka yang didapati mengelirukan dan tindakan undang-undang telah dimulakan oleh pengurusan sekarang terhadap bekas pengarah dan juruaudit syarikat tersebut kerana pelanggaran tanggungjawab fidusiari.

Selain daripada penyiasatan dan pendakwaan yang berkaitan PN4, SC juga secara aktif menyiasat 104 kes lain dan mendakwa 31 kes membabitkan 48 individu.

Datin Zarinah berkata beberapa kes yang disiasat oleh SC menunjukkan bukti penipuan dan jenayah pecah amanah. Ini telah dirujuk kepada Polis manakala kes yang berkaitan pelanggaran kepada Akta Syarikat 1965 telah dirujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Datin Zarinah berkata pihak berkuasa adalah komited untuk bekerjasama untuk memastikan pesalah dihukum dengan sewajarnya.

“Perlindungan pelabur merupakan salah satu keutamaan kita. Kita perlu memastikan bahawa standard tadbir urus korporat yang tinggi ditunjukkan oleh kerana kekuatan dan keutuhan pasaran adalah penting,” tegas beliau.

Selain daripada pendakwaan, SC juga telah mengenakan 20 tindakan pentadbiran dan mengeluarkan tiga kompaun kepada syarikat PN4. BSKL juga telah mengambil 102 tindakan terhadap syarikat PN4 melalui denda, celaan dan surat peringatan.

Gambarajah 1: Senarai tindakan penguatkuasaan SC yang penting membabitkan syarikat PN4 dan pengarah syarikat mereka,1999-2002

Syarikat (mengikut abjad) Ringkasan kesalahan/tindakan yang diambil Kesalahan Catatan
Actacorp Holdings Berhad Puniyamurthi (Penolong Pengurus Besar), Mohd Raffique Ibrahim (Pengurus Kanan Kumpulan) dan Ariffin Abdul Majid (Pengurus Besar Kanan Kumpulan) dituduh kerana memanipulasi harga waran Actacorp.
Tarikh pertuduhan : 28 Nov 2002
S.84 SIA Kes menunggu perbicaraan.
CSM Corporation Berhad CSM dikehendaki pada 25 Jun 2002 untuk menyatakan semula penyata kewangan 1999nya dan membuat pengumuman yang sesuai mengenai penyataan semula itu. - Berikutan arahan SC itu, Lembaga Pengarah sekarang mengambil tindakan undang-undang terhadap juruaudit dan pengarah sebelum ini.
General Soil Engineering Holdings Berhad
Tan Soon Geok (Pengarah Urusan Gensoil) dituduh kerana bersubahat dengan remisier dalam memanipulasi harga saham Gensoil. Tan juga dituduh kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada SC mengenai urus niaganya dalam saham Gensoil. Esmail Naziadin, remisier MIDF Sisma Securities Sdn Bhd, juga dituduh memanipulasi harga saham Gensoil.
Tarikh pertuduhan: 11 Nov 2002
S84 & S85 SIA Menunggu perbicaraan.
Idris Hydraulic (M) Berhad

Dato’ Ishak Ismail – Pengarah Idris Hydraulic (M) Bhd – dituduh bersubahat dengan syarikat dalam menggunakan RM50 juta dana syarikat yang dijana daripada pelaksanaan korporat tanpa kelulusan daripada SC, oleh itu melanggar syarat kelulusan yang ditetapkan oleh SC.
Tarikh pertuduhan: 28 Jun 2002

Dalam kes berlainan, Dato’ Ishak dituduh pada 24 Julai 1999 dan mengaku bersalah pada 23 Ogos 2001 terhadap pertuduhan mengemukakan maklumat palsu dan mengelirukan berkaitan cadangan yang dikemukakan kepada SC. Dia didenda sebanyak RM400,000 oleh mahkamah.

S32(6) SCA

 

 


S32B SCA

Menunggu perbicaraan.
Omega Holdings Berhad

Dato' Soh Chee Wen telah dituduh oleh SC kerana pembabitan beliau dalam satu skim untuk menipu Omega.
Tarikh dikompaun: 14 Mei 2002

Datuk Tony Tiah mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada BSKL berkenaan urus niaga dalam saham Omega Holdings Berhad.
Tarikh pengakuan bersalah: 10 May 2002

S87A SIA

 


S122B SIA

Perbicaraan masih dijalankan.

 

-

Plantation & Development (M) Berhad 3 Pengarah - Chua Peng Len, Gwi Chin Fatt & Yong Thiam Yoon – dituduh oleh SC kerana menyalahgunakan hasil kutipan yang dijana daripada terbitan awam dan mengemukakan maklumat palsu kepada SC.
Tarikh pertuduhan: 22 Feb 2001
S32(6) SCA Chua disabitkan kesalahan dan didenda RM250,000 pada 17 Sept 2001. Perbicaraan bagi Gwi dan Yong masih dijalankan.
Repco Holdings Berhad Low Thiam Hock (Pengerusi) dituduh kerana memanipulasi saham Repco.Tarikh pertuduhan : 18 Sept 1999 S84 SIA Perbicaraan masih dijalankan.
Tat Sang Holdings Berhad Lim Chai Hock (Pengarah Urusan) dituduh kerana mengemukakan maklumat palsu kepada SC berkenaan dengan cadangan penyenaraian dan dengan sengaja mengesahkan pengemukaan maklumat palsu kepada BSKL.
Tarikh pertuduhan: 12 Dis 2002
S122B SIA Menunggu perbicaraan.

SURUHANJAYA SEKURITI
12 Disember 2002