Suruhanjaya
Sekuriti (SC) ingin menasihati orang ramai supaya berjaga-jaga
terhadap seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai
SC untuk memperolehi butiran akaun bank daripada orang
ramai. Mangsa-mangsa yang telah tertipu oleh syarikat
komoditi lani/dagangan indeks dipercayai menjadi sasaran
penyamar tersebut yang menjanjikan bayaran balik wang
yang telah dilesapkan oleh dagangan haram berkenaan.
Pihak SC
tidak memberikan kuasa kepada mana-mana pegawainya untuk
mendapatkan butiran akaun bank daripada para individu
bagi tujuan yang dinyatakan di atas. Orang ramai dingatkan
untuk tidak memberikan butiran sebegitu dan haruslah
menghubungi pihak Polis atau SC dengan segera sekiranya
mereka dihampiri oleh penyamar tersebut. Unit Pengaduan
SC boleh dihubungi di talian: 03-6204 8999 dan e-mel
aduan@seccom.com.my.
SC telah
dimaklumkan awal minggu ini oleh seorang individu yang
menyatakan bahawa beliau telah didatangi oleh seorang
lelaki yang memakai nama Encik Kamal bin Shamsul dan
kononnya daripada pejabat SC di Petaling Jaya (PJ).
Lelaki tersebut telah meminta nombor akaun dan kad pengenalan
individu berkenaan untuk tujuan membayar balik wang
yang telah lesap dalam dagangan komoditi lani. Pihak
SC tidak mempunyai kakitangan bernama sedemikian dan
pejabatnya terletak di Kuala Lumpur, bukan PJ. SC tidak
mempunyai cawangan di luar Kuala Lumpur.
Ramai orang
yang cuba memperolehi keuntungan cepat telah menjadi
mangsa syarikat komoditi lani / indeks haram ini dan
mengalami kerugian beribu-ribu ringgit. Pihak SC khuatir
aktiviti penyamar yang baru diketengahkan ini ialah
skim penipuan lanjutan daripada aktiviti haram komoditi
lani/dagangan indeks yang bertujuan untuk menipu lebih
banyak wang daripada mangsa-mangsa.
Pihak SC
menyeru semua mangsa untuk membuat laporan kepada Unit
Pengaduan SC sekiranya mereka dihubungi oleh pihak yang
tidak dikenali.
Peringatan
kepada bakal pelabur
SC ingin
menegaskan bahawa pedagang komoditi lani dan indeks
ini, yang beroperasi di bandar-bandar besar dan kecil
di seluruh negara dan tidak berlesen, menjalankan dagangan
niaga hadapan yang tidak sah.
Ramai orang
telah tertipu dengan mempercayai bahawa mereka boleh
menjadi kaya dalam tempoh singkat tanpa risiko. Pelabur
boleh melawat tapak web SC www.sc.com.my atau tapak
Pelabur Malaysia di www.min.com.my
bagi maklumat lanjut mengenai pelaburan bijak.
SC menggesa
orang ramai agar lebih berhati-hati apabla melabur dengan
syarikat pelaburan tempatan dan luar negara. Terdapat
banyak pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil
kesempatan dengan keadaan ekonomi semasa untuk memperdaya
pelabur kepada aktiviti pelaburan yang dilihat memberikan
pulangan tinggi.
SC juga ingin
mengingatkan semua pelabur bahawa peluang “cepat
kaya” yang diuar-uarkan oleh pihak ini selalunya
ialah skim “cepat jadi miskin”.
Orang ramai
hendaklah maklum bahawa hampir keseluruhan jenis pelaburan
adalah dikawal selia oleh agensi Kerajaan seperti SC.
Orang ramai harus memeriksa dengan SC atau pihak berkuasa
berkaitan mengenai status pelesenan syarikat tempatan
atau luar negara yang mereka gunakan untuk melabur.
Peringatan
kepada mereka yang mencari kerja
Mereka yang
mencari kerja juga hendaklah berwaspada apabila ditawarkan
dengan kerja yang menjanjikan gaji lumayan yang tidak
sepadan dengan keperluan bagi pengalaman atau kelayakan
akademik.
Kebanyakan
syarikat komoditi lani meletakkan iklan bagi jawatan
eksekutif pejabat biasa, dan cuba meyakinkan calon yang
ditemuduga dengan pejabat mewah di lokasi yang ternama.
Calon temuduga hendaklah merujuk kepada SC sekiranya
mereka tidak pasti. Kebanyakan syarikat ini juga didaftarkan
dengan Suruhanjaya Syarikat malah mempamerkan nombor
pendaftaran syarikat mereka.
Walau bagaimanapun,
mereka yang mencari kerja dan bakal pelabur adalah diingatkan
bahawa sesiapa yang menjalankan sebarang aktiviti dagangan
niaga hadapan perlu mendapatkan lesen daripada SC, dan
semua wakil broker niaga hadapan juga mesti dilesenkan.
Bagaimana
untuk mengenal pasti syarikat dagangan komoditi/indeks
lani samaran
Orang ramai
boleh mengenal pasti syarikat yang menjalankan dagangan
komoditi/indeks lani secara tidak sah dengan memeriksa
ciri-ciri berikut:
- Kebanyakan
yarikat sedemikian mendakwa bahawa mereka ialah "ejen" bagi rumah-rumah dagangan asing, yang biasanya ditubuhkan
dalam bidang kuasa seperti Macau, Indonesia, Singapura,
Hong Kong, Kepulauan British Virgin dan Bahama.
- Walaupun
mereka mendakwa memperdagangkan produk mereka dalam
pasaran asing tersebut, mereka selalunya tidak mempunyai
bukti kukuh yang menunjukkan dagangan ini disalurkan
kepada bursa-bursa niaga hadapan asing. Pedagang-pedagang
syarikat ini mengamalkan apa yang dikenali sebagai "bucketing" , yang mana mereka melaksanakan
pesanan pelanggan bagi akaun mereka sendiri dan bukannya
di pasaran, dengan harapan mengaut keuntungan daripada
sesuatu urus niaga `offset' pada masa hadapan.
- Syarikat-syarikat
ini kerap meletakkan iklan pengambilan kakitangan
bagi jawatan seperti eksekutif, pembantu pentadbir
atau kerani. Pencari kerja dijanjikan antara lain
dengan gaji empat angka yang lumayan. Calon-calon
yang disenarai pendek akan ditemu duga dan selepas
menjadi kakitangan, akan diberikan "latihan" singkat. Pada akhir latihan tersebut, kakitangan itu
akan digalakkan untuk melabur simpanan mereka dalam
produk serta menarik pelabur baru yang selalunya terdiri
daripada saudara-mara dan rakan-rakan kakitangan tersebut.
Dalam beberapa kes, kakitangan tersebut diugut tidak
akan diberi gaji sehingga mereka melabur wang mereka
atau membawa masuk pelabur baru.
- Pelabur
biasanya diminta untuk membuat bayaran permulaan yang
dpanggil "deposit margin" berjumlah sekitar
USD3,000 hingga USD5,000. Pelabur kemudian diberitahu
bahawa pelaburan mereka telah disalurkan kepada prinsipal
asing syarikat tersebut dan mereka dikehendaki menandatangan
satu perjanjian dagangan, kononnya dengan prinsipal
asing syarikat tersebut.
- Waktu
dagangan syarikat ini berbetulan dengan waktu dagangan
bursa-bursa asing yang mereka dakwa berurusan dengan
mereka. Sebagai contoh, sebuah syarikat yang berurusan
dalam indeks Hang Seng akan menjalankan dagangan pada
waktu siang sementara dagangan dengan pasaran saham
atau komoditi AS akan berbuat demikian pada waktu
lewat malam sehingga awal pagi.
- Berpandukan
pengalaman mangsa, bayaran permulaan yang dipanggil "deposit margin" selalunya akan kehabisan
dalam masa beberapa hari, yang mengakibatkan "
panggilan margin". Panggilan margin merupakan
permintaan syarikat daripada pelanggan mereka untuk
meletakkan deposit tambahan bagi meneruskan dagangan.
Syarikat tersebut selalunya menggalakkan para pelabur
untuk terus membuat dagangan untuk menampung kerugian
mereka. Pelabur yang terpedaya akan membuat deposit
tambahan dan proses tersebut berulangdan mengakibatkan
kerugian yang meningkat kepada pelabur.
- Sebagai
sebahagian daripada rancangan untuk menipu para pelabur,
kadangkala syarikat tersebut akan menunjukkan beberapa
keuntungan dagangan dalam akaun pelabur. Walau bagaimanapun,
pelabur akan mendapati bahawa mereka tidak boleh menunaikan
keuntungan tersebut.
- Akhirnya,
pelabur kehilangan kesemua pelaburan mereka. Dalam
kebanyakan kes, pelabur tidak mempunyai kawalan ke
atas kaedah dagangan dalam akaun mereka, kerana mereka
telah memindahkan hak kepada pedagang syarikat tersebut
untuk melaksanakan dagangan bagi pihak mereka.
SURUHANJAYA
SEKURITI
23 Mei 2003
|