Suruhanjaya Sekuriti (SC), dengan kebenaran Pendakwa Raya telah mengenakan kompaun terhadap dua kesalahan yang dilakukan oleh pengarah urusan Hospitech Resources Bhd, Jimmy Goh Kai Tong sebanyak RM500,000. Dua kesalahan yang dikompaun tersebut adalah di bawah seksyen 32B dan 55 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA).
Di bawah seksyen 32B SCA 1993, adalah menjadi kesalahan bagi seseorang pengarah untuk mengemukakan maklumat atau kenyataan palsu kepada SC. Seksyen 55 SCA 1993 melarang seseorang pengarah daripada menyebabkan penerbitan prospektus yang mengandungi sebarang kenyataan atau maklumat palsu.
Penyiasatan SC mendapati bahawa kedua-dua permohonan Hospitech kepada SC bagi cadangan penyenaraiannya di Pasaran MESDAQ dan prospektus yang dikeluarkan pada 28 Mac 2006 mengandungi angka pendapatan palsu bagi Hospitech Marketing Sdn Bhd (HMKT), subsidiari yang dimiliki sepenuhnya oleh Hospitech.
SC mendapati Jimmy Goh, Pengarah Urusan Hospitech ketika pengemukaan syarikat bagi penyenaraian di Pasaran MESDAQ, telah menyebabkan invois belian dan jualan diambil kira dalam akaun HMKT bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2002. Dia kemudiannya membuat pengisytiharan berkanun bahawa akaun teraudit HKMT bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2002 adalah betul dan benar.
Walaupun menyedari kepalsuan tersebut, Jimmy Goh telah membuat pengisytiharan dalam pengemukaan penyenaraian Hospitech bahawa terdapat penzahiran penuh dan benar dalam semua maklumat yang terkandung dalam pengemukaan penyenaraian dan prospektus dan pada pengetahuannya, tiada maklumat palsu telah dikemukakan.
Ketika mengkompaun kesalahan tersebut, SC mempertimbangkan fakta bahawa angka pendapatan palsu tidak memberi kesan terhadap keuntungan syarikat sebagaimana nilai kos jualan palsu yang dimasukkan dalam akaun HMKT. SC juga menerima penarikan balik secara sukarela oleh Hospitech pada 19 April 2006 akan hasratnya untuk disenaraikan di MESDAQ selepas SC memulakan penyiasatannya.
SC juga mengambil kira pengembalian semula semua wang yang diterima oleh Hospitech daripada pemohon yang berjaya yang telah melanggan kepada tawaran awam awal Hospitech. Proses pengembalian semula tersebut telah dipantau oleh SC bagi memastikan pemulangan wang yang teratur dan tepat pada masanya.
SC menyatakan bahawa kadar kompaun yang dikenakan dalam kes ini menggambarkan keseriusan SC terhadap kesalahan sedemikian. Pengarah syarikat adalah dikehendaki mengekalkan standard penzahiran, tatalaku dan ketekunan wajar yang tertinggi dalam pengemukaan dan cadangan korporat.
Sebagai sebahagian daripada rejim berteraskan penzahiran, SC menghendaki semua pihak yang terbabit dalam cadangan korporat, khususnya penasihat dan pengarah, memastikan bahawa semua maklumat yang dizahirkan kepada SC adalah benar dan tepat.
SURUHANJAYA SEKURITI
|