<%@LANGUAGE="JAVASCRIPT" CODEPAGE="1252"%> Siaran Akhbar - Dua lagi laman web skim penipuan pelaburan disekat, SC peroleh injunksi antarabangsa Mareva terhadap Swisscash
Acts Guidelines, Codes & Practice Notes Press Releases Speeches & Articles FAQs
Consultation Papers/Presentations Data & Statistics Publications Links SC Library
Unit Trust Database Main            

SIARAN AKHBAR

Kuala Lumpur, 10 Julai 2007

Dua lagi laman web skim penipuan pelaburan disekat, SC peroleh injunksi antarabangsa Mareva terhadap Swisscash

Suruhanjaya Sekuriti (SC), dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan CyberSecurity Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai NISER), telah menyekat akses kepada dua lagi laman web yang menawarkan skim pelaburan tidak sah kepada orang ramai di Malaysia.

Dua laman web yang disekat tersebut ialah:

  • www.eaindex.com
  • www.winlifund.com

Dengan langkah terkini ini, sejumlah 10 laman web telah disekat setakat ini. Langkah ini merupakan proses berterusan, dan lebih banyak lagi laman web akan disekat apabila SC meneruskan siasatannya.

Pada masa yang sama, SC memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap laman web `pendua’ yang diwujudkan oleh pengendali skim berikutan penyekatan akses ke laman web utama mereka. Oleh itu, pelabur yang masih melibatkan diri dalam skim pelaburan internet tidak sah melalui laman web `pendua’ ini adalah dinasihatkan agar mengeluarkan pelaburan mereka secepat mungkin. Pelabur tidak akan boleh mengakses akaun mereka apabila laman-laman web ini disekat.

Sementara itu, dalam satu pencapaian penting berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap skim penipuan pelaburan, pada 21 Jun 2007 lalu, SC telah memperoleh injunksi antarabangsa Mareva (Mareva) terhadap mereka yang terlibat dalam skim pelaburan internet Swisscash, yang menghalang mereka daripada menjual harta mereka di dalam dan di luar Malaysia.

Mareva yang dipohon oleh SC adalah berikutan satu tindakan guaman sivil terhadap defendan bernama Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe, Amir bin Hassan, Dynamic Revolution Sdn Bhd, Swiss Mutual Fund (1948) S.A., SMF International Limited dan SMF (1948) International Limited.

Mareva, yang boleh dirujuk di sini (pdf - 418KB), menyekat dan menghalang defendan daripada:

  • Menjalankan perniagaan Swisscash,
  • Mensasarkan, mempelawa dan/atau mengambil dana daripada orang ramai bagi pelaburan dalam Swisscash atau mana-mana skim pelaburan internet yang lain, dan
  • Menjadi hos atau mengendalikan laman web atau mengendalikan laman web lain yang mempelawa pelaburan bagi Swisscash atau skim pelaburan internet yang lain.

Mareva juga menghendaki defendan menzahirkan maklumat yang berkaitan dengan semua asset mereka di dalam dan di luar Malaysia, syarikat yang mereka tubuhkan dan akaun bank yang melaluinya mereka beroperasi.

SC memperoleh Mareva lanjutan daripada siasatannya ke atas skim di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

SC akan terus mengambil semua langkah untuk memerangi skim penipuan pelaburan termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang sesuai terhadap pengendali dan ejen laman web pelaburan tidak sah.

Orang ramai adalah diingatkan agar hanya melabur dengan pihak yang dilesenkan oleh SC agar diperuntukkan perlindungan disediakan di bawah undang-undang sekuriti. Senarai syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC untuk terlibat aktiviti pelaburan boleh didapati di laman web SC.

Orang ramai juga dinasihatkan agar merujuk kepada “Soalan Lazim: Jangan Melabur dalam Skim Pelaburan Internet Tidak Sah” yang boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI