27 Jun 2012 Fasa selanjutnya bagi perkembangan pasaran modal Islam untuk menonjolkan pengantarabangsaan yang lebih besar Industri kewangan Islam kini berada dalam peringkat penting yang mana industri ini perlu menaksir semula dan membentuk persekitaran yang boleh mendorong kepada fasa pertumbuhan seterusnya.
Zainal Izlan Zainal Abidin, Pengarah Eksekutif, Pasaran Modal Islam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), pada Program Pasaran Islam (IMP) ke-7 hari ini berkata bahawa kewangan Islam telah pun berkembang menjadi sebuah industri yang mempunyai tarikan global, dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 15% sepanjang dekad lalu,dan kini mencapai AS$1.3 trilion.
"Fasa pertumbuhan pasaran Islam seterusnya akan ditentukan oleh proses pengantarabangsaan yang lebih besar, antara lain, semakin ramai penerbit produk dan penyedia perkhidmatan yang berkembang menjangkau pasaran tempatan mereka, lebih banyak pelabur yang memerlukan produk atau instrumen pelaburan yang mempunyai pendedahan antarabangsa, serta lebih banyak kepelbagaian dalam mata wang yang digunakan dalam menerbitkan instrumen pelaburan patuh Syariah," ujar Izlan dalam ucapan alu-aluannya pada IMP empat hari tersebut (24-28 Jun) IMP, yang merupakan sebuah program anjuran Securities Industries Development Corporation, iaitu cabang latihan dan pendidikan SC.
Menurut Pelan Induk Pasaran Modal 2, pasaran modal Islam Malaysia dijangka tumbuh pada kadar purata 10.6% setahun, dalam tempoh 10 tahun sehingga tahun 2020.
Menurut Izlan, kewangan Islam telah berkembang bukan sahaja dalam pasaran Islam tradisional seperti di Malaysia dan Timur Tengah, malah juga di pasaran dan pusat kewangan konvensional seperti di UK, dengan peningkatan bilangan bidang kuasa di seluruh dunia yang kini berada dalam pelbagai peringkat untuk membangunkan keupayaan mereka dalam kewangan Islam.
Bertemakan "Membina Persekitaran untuk Perkembangan Kewangan Islam", IMP menarik penyertaan 41 peserta tempatan dan antarabangsa termasuk penggiat kewangan Islam, ahli akademik dan pengawal selia.
Para penceramah pada program tersebut termasuklah penggiat kanan industri, Rafe Haneef, Pengarah Urusan HSBC Amanah Malaysia, Rafiza Ghazali, Ketua Kewangan Islam Asia Thomson Reuters, Profesor akademik terkemuka, Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi, Ketua Pegawai Akademik INCEIF, dan Ijlal Ahmed Alvi, CEO IIFM iaitu sebuah organisasi pasaran kewangan Islam antarabangsa.
Kali pertama dianjurkan pada tahun 2006, IMP telah menjadi hos kepada 289 peserta dari pelbagai rantau di seluruh dunia termasuk Timur Tengah, Asia, Eropah, Afrika, Australia dan Asia Tenggara, yang menunjukkan kecapaian, kepelbagaian dan penerimaan terhadap kewangan Islam pada masa ini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
|



