Selamat Datang Ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

 
2012 Siaran Akhbar
 

Kuala Lumpur, 17 September 2012

Yang di-Pertuan Agong akan menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam pada 19hb Sept

Personaliti-personaliti ternama di dalam industri kewangan Islam sedunia akan berkumpul di Kuala Lumpur pada minggu hadapan untuk menyaksikan pengiktirafan kepada individu selayaknya yang telah memberi sumbangan secara meluas kepada pembangunan kewangan Islam di peringkat global.

 

Anugerah Diraja Kewangan Islam (Anugerah Diraja), yang kini sedang mencari pemenangnya yang kedua, berinspirasi untuk menjadi anugerah penanda aras pengiktirafan global di dalam bidang kewangan Islam. Anugerah Diraja ini akan dipersembahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari rabu ini.

 

Seramai 32 pencalonan telah diterima sebagai penerima Anugerah Diraja. Para calon telah dipilih oleh jemaah juri antarabangsa bebas, yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam, yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (World Islamic Economic Forum Foundation)

Tun Musa berkata, "Penerima Anugerah Diraja ini telah dipilih oleh seramai tujuh orang juri bebas yang terdiri dari cendekiawan Shariah, ahli akademik dan pengamal kewangan Islam dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat. Melalui struktur pemilihan ini, Anugerah Diraja semakin diperakui sebagai penanda aras global bagi mengenal pasti individu cemerlang yang telah membentuk dan mengatur pertumbuhan pasaran kewangan Islam sedunia.

 

Mengulas mengenai proses pemilihan, beliau berkata, "Para juri menilai kedua-dua aspek kualiti dan kuantiti yang disumbangkan oleh calon-calon, jangkauan serta impaknya terhadap pembangunan kewangan Islam sedunia. Ini termasuklah melaksanakan inovasi kewangan serta kerja-kerja selaku peneraju di dalam bidangnya, daya kepimpinan yang cemerlang, pengiktirafan serta menerima pakai sumbangan calon-calon tersebut oleh industri, dan inspirasi serta pengaruh yang berjaya memacu pembangunan serta kemajuan di masa hadapan."

 

"Saya amat gembira untuk menyatakan bahawa majoriti pencalonan yang diterima berada di dalam lingkungan parameter yang telah kami tetapkan. Mereka merupakan individu yang menonjol serta terkenal di dalam bidang yang mereka wakili. Mereka yang bukan sahaja memenuhi objektif serta criteria yang di tetapkan tetapi turut mempunyai pengaruh, pastinya akan tergolong di dalam senarai pendek kami. Panel para juri kami merasa amat kagum dengan rekod kecemerlangan para calon tersebut. Kami merasa amat gembira kerana telah berjaya memilih individu terbaik yang mampu melambangkan keunggulan cita-cita Anugerah Diraja yang akan diumumkan pada Rabu ini," tambah beliau.

 

Anugerah Diraja ini akan dipersembahkan semasa Majlis Makan Malam Gala yang dianjurkan bersempena dengan Forum Kewangan Islam Sedunia (GIFF) 2012, majlis berprofil tinggi yang menyatu serta menemukan pengawal perundangan, cendekiawan dan pakar industri kewangan yang merupakan pemacu utama pembangunan kewangan Islam sedunia.

Pencarian di seluruh dunia untuk individu cemerlang di dalam bidang kewangan Islam bermula pada tahun 2010 semasa Anugerah Diraja Kewangan Islam telah ditubuhkan oleh Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan disokong oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Pengasas Kumpulan Dallah Albaraka, Shaikh Saleh Abdullah Kamel dari Arab Saudi telah dinobatkan sebagai penerima pertama Anugerah tersebut pada tahun 2010.

 

Anugerah Diraja menumpukan kepada rekod pencapaian cemerlang individu tersebut di dalam bidang kewangan Islam secara global. Semasa pencalonan ditutup pada 1hb Jun 2012, seramai 32 pencalonan dari Timur Tengah, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Rantau Asia Pasifik telah diterima, menandakan jangkauan serta penerimaan sistem kewangan Islam yang meliputi seluruh dunia.

 

Mengimbau kembali kepelbagaian sumber kewangan Islam yang terdapat hari ini, pencalonan telah diterima dari pelbagai kumpulan berkepentingan, termasuklah cendekiawan Shariah, para akademik, pengamal serta pakar pasaran, institusi kewangan, institusi penyelidikan, agensi Kerajaan serta Organisasi Bukan Kerajaan (NGOs). Mereka melangkaui pelbagai bangsa, jantina serta agama.

 

Penerima Anugerah Diraja ini akan menjadi model contoh yang memberi serta mencetuskan inspirasi kepada mereka yang lain untuk turut menyumbangkan kepada pembangunan industri ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Anugerah Diraja ini, sila kunjungi laman web www.mifc.com/award.

 

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Bagi pihak Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)