Selamat Datang Ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

 
Pasaran Modal Islam
 
 Glosari

Glosari Istilah Pasaran Modal Islam

Istilah

Definisi

Bai` Bithaman Ajil (BBA)

Kontrak yang merujuk kepada transaksi penjualan dan pembelian bagi pembiayaan aset atas dasar tertangguh dan ansuran dengan tempoh pembayaran yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Harga jualan termasuk margin keuntungan.

Bai` al-`Inah

Kontrak yang membabitkan transaksi jualan dan pembelian semula set oleh penjual. Penjual menjual aset kepada pembeli secara tunai dan kemudian membelinya semula atas dasar pembayaran tertangguh yang harganya lebih tinggi daripada harga tunai. Ia boleh juga diguna pakai apabila penjual menjual aset kepada pembeli atas dasar tertangguh dan kemudian membelinya semula atas dasar tunai, pada harga yang lebih rendah daripada harga tertangguh.

Bai` al-Istijrar

Kontrak yang mana pembekal bersetuju membekalkan sesuatu produk secara berterusan, misalannya bulanan, pada harga yang dipersetujui dan kaedah bayaran yang dipersetujui.

Bai` al-Dayn

Transaksi membabitkan penjualan dan pembelian sekuriti atau sijil hutang yang mengikut Syariah. Sekuriti atau sijil hutang dikeluarkan oleh pemiutang kepada penghutang sebagai bukti perhutangan.

Bai` al-Muzayadah

Tindakan seseorang untuk menjual asetnya di pasaran terbuka yang diiringi dengan proses membida di kalangan bakal pembeli. Aset untuk dijual diberikan kepada orang yang membuat tawaran tertinggi. Ia merupakan transaksi jualan dan belian berdasarkan tender.

Bai` al-Salam

Kontrak yang mana pembayaran dibuat secara tunai pada masa kontrak tetapi pemberian aset yang dibeli tertangguh kepada satu tarikh yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

Bai` al-Wafa'

Kontrak dengan syarat apabila penjual membayar semula harga barangan yang dijual, pembeli memulangkan semula barangan itu kepada penjual.

Dhaman

Kontrak jaminan yang mana penjamin menaja jamin sebarang tuntutan dan obligasi yang sepatutnya dipenuhi oleh pemilik aset. Konsep ini turut diguna pakai kepada satu jaminan yang diberikan kepada transaksi hutang sekiranya penghutang gagal untuk memenuhi obligasi hutangnya.

Gharar

Gharar adalah elemen penipuan sama ada melalui kejahilan mengenai elemen penting barangan, harga, atau melalui gambaran tidak betul mengenai barangan tersebut, yang mana satu atau kedua-dua pihak boleh tertipu. Contohnya, berjudi adalah satu bentuk gharar kerana penjudi tidak mengetahui keputusan perjudian itu.
Gharar dibahagikan kepada tiga jenis iaitu gharar fahish (berlebihan), yang merosakkan transaksi, gharar yasir (sedikit) yang boleh ditoleransi dan gharar mutawassit (sederhana) yang terletak antara dua kategori di atas. Sebarang transaksi boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang dilarang kerana gharar yang berlebihan.

Haq Maliy

Haq maliy adalah hak ke atas aset kewangan, misalannya haq dayn (hak hutang) dan haq tamalluk (hak pemilikan).

Hibah

Hadiah yang dianugerahkan kepada seseorang.

Hiwalah

Kontrak yang membenarkan penghutang memindahkan obligasi hutangnya kepada pihak ketiga.

Ibra'

Tindakan oleh seseorang untuk menarik balik haknya untuk mengutip bayaran daripada seseorang yang mempunyai obligasi untuk membayar balik jumlah yang dipinjam daripadanya.

Ijarah

Sejenis kontrak manfaah yang mana pemberi sewa (tuan punya) menyewakan aset atau peralatan kepada pelanggan pada bayaran sewa yang telah dipersetujui dan tempoh sewaan yang telah ditetapkan pada masa `aqd (kontrak). Pemilikan peralatan yang disewakan tetap dimiliki oleh pemberi sewa.

Ijarah Thumma Bai`

Kontrak yang bermula dengan kontrak ijarah bagi tujuan menyewakan aset tuan punya kepada penyewa. Pada akhir tempoh penyewaan, penyewa akan membeli aset tersebut pada harga yang dipersetujui daripada pemberi sewa dengan melaksanakan kontrak belian (bai`).

Istisna`

Kontrak pesanan belian aset yang mana penjual membuat pesanan untuk membeli sesuatu aset untuk diserahkan pada masa akan datang. Pembeli memerlukan penjual atau kontraktor untuk membina aset dan menyerahkannya pada masa akan datang mengikut spesifikasi yang diberikan dalam kontrak jualan dan belian. Kedua-dua pihak memutuskan tentang harga jualan dan belian dan pembayarannya boleh ditangguhkan atau diatur berdasarkan jadual bila kerja diselesaikan.

Ittifaq Dhimni

Jualan dan belian semula aset pendasar yang harganya dipersetujui oleh semua pihak sebelum pelengkapan kontrak. Perjanjian ini mestilah dipersetujui bersama sebelum kontrak itu boleh dilengkapkan bagi membolehkan proses pembidaan (bai` al-muzayadah) dijalankan.

Ji`alah

Kontrak anugerah – kontrak satu pihak yang menjanjikan anugerah bagi sesuatu tindakan atau pencapaian tertentu.

Kafalah

Sama makna dengan dhaman.

Khilabah

Satu bentuk penipuan, sama ada melalui perkataan atau perbuatan, oleh satu pihak dalam kontrak dagangan, dengan niat untuk memperdaya pihak satu lagi supaya membuat kontrak. Ini dilarang oleh Syariah.

Khiyanah

Penipuan, dengan tidak menzahirkan perkara yang benar atau melanggar perjanjian secara sembunyi. Ini dilarang menurut Syariah.

Mal

Sesuatu yang mempunyai nilai dan boleh digunakan secara bermanfaat menurut Syariah.

Maisir

Sebarang aktiviti yang membabitkan pertaruhan yang pemenangnya memenangi pertaruhan dan yang kalah hilang pertaruhan. Ini dilarang menurut Syariah.

Mudharabah

 

Kontrak antara dua pihak untuk membiayai usaha niaga perniagaan. Kedua-dua pihak adalah rabb al-mal atau pelabur tunggal yang menyediakan modal dan mudarib atau usahawan tunggal yang menguruskan projek tersebut. Jika usaha niaga itu mendatangkan keuntungan, keuntungan akan dibahagikan berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui. Jika perniagaan itu mengalami kerugian, ia akan ditanggung sepenuhnya oleh penyedia modal.

Murabahah

Kontrak yang merujuk kepada transaksi jualan dan belian untuk membiayai sesuatu aset yang mana kos dan margin keuntungannya diuar-uarkan dan dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit. Penyelesaian kepada belian itu boleh dilakukan sama ada secara bayaran sekali gus tertunda atau secara ansuran, dan dinyatakan secara khusus dalam perjanjian tersebut.

Musyarakah

Pengaturan perkongsian antara dua pihak atau lebih untuk membiayai usaha niaga perniagaan yang mana semua pihak menyumbangkan modal sama ada dalam bentuk tunai atau lain-lain. Sebarang keuntungan yang diperoleh daripada usaha niaga itu diagihkan berdasarkan kepada nisbah perkongsian keuntungan yang telah dipersetujui bersama terlebih dahulu dan kerugian dikongsi berasaskan sumbangan modal.

Muqasah

Penyelesaian hutang oleh transaksi kontra.

Qabdh

Qabdh bermakna pemilikan, yang merujuk kepada kontrak pertukaran. Pada umumnya, qabdh bergantung kepada persepsi `urf atau amalan lazim komuniti tempatan dalam mengiktiraf pemilikan harta telah dilakukan.

Qardh Hasan

Kontrak pinjaman antara dua pihak atas dasar kebajikan sosial atau untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek peminjam. Jumlah bayaran semula mestilah sama dengan jumlah yang dipinjam. Bagaimanapun, peminjam boleh membayar lebih daripada jumlah yang dipinjam selagi ia tidak dinyatakan atau dipersetujui pada masa kontrak.

Rahn

Satu tindakan yang mana aset yang berharga digunakan sebagai cagaran hutang. Cagaran ini akan digunakan untuk menyelesaikan hutang apabila penghutang ingkar.

Riba

Satu peningkatan, dalam transaksi pinjaman atau dalam pertukaran komoditi, terakru kepada pemilik (pemberi pinjam) tanpa memberikan nilai balas setara atau pengembalian ganti rugi kepada pihak satu lagi. Ia meliputi faedah ke atas pinjaman komersial dan pengguna, dan dilarang mengikut Syariah.

Sarf

Pembelian dan penjualan mata wang.

Suftajah

Instrumen kredit yang dikeluarkan untuk membolehkan pemiutang menggunakan atau menunaikannya di tempat lain yang telah ditetapkan terlebih dahulu dan satu tarikh akan datang.

Sukuk

Dokumen atau sijil, yang mendokumentasikan pemilikan pro-rated tak dibahagi aset sandaran. Sak (satu bagi sukuk) didagangkan dengan bebas pada par, premium atau diskaun,

Syariah

Undang-undang Islam, berasak daripada Qur`an (kitab suci Islam), dan a,alan dan penjelasannya di sampaikan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) dan ijtihad ulama (usaha oleh cendekiawan Syariah untuk menentukan peraturan sebenar undang-undang Allah bagi perkara-perkara yang tidak jelas).

Tadlis al-`aib

Merujuk kepada aktiviti penjual yang dengan sengaja menyembunyikan kecacatan barangan. Perbuatan ini dilarang menurut Syariah.

Takaful

Satu bentuk insurans Islam yang berdasarkan prinsip ta`awun atau bantuan bersama. Ia memberikan perlindungan bersama aset dan harta serta menawarkan perkongsian risiko bersama sekiranya salah seorang ahlinya mengalami kerugian. Takaful adalah sama dengan insurans bersama iaitu ahli-ahlinya adalah penanggung insurans dan juga pihak yang diinsuranskan.

Tanajush

Merujuk kepada konspirasi antara penjual dan pembeli yang mana pembeli bersedia untuk membeli barangan pada harga yang lebih tinggi. Ini dilakukan supaya orang lain akan berebut-rebut membeli barangan pada harga yang lebih tinggi, mengakibatkan penjual mendapat untung besar. Transaksi ini tidak dibenarkan dalam Islam.

Ta`widh

Penalti yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang berkontrak sebagai ganti rugi yang berhak dituntut oleh pemiutang apabila penghutang gagal atau lambat melaksanakan tanggungjawabnya membayar hutang.

Ujrah

Pembayaran kewangan bagi penggunaan perkhidmatan atau manfaat. Dalam konteks ekonomi hari ini, ia boleh jadi dalam bentuk gaji, upah, elaun, komisen dll.

`Urbun

Deposit atau wang cengkeram yang menjadi sebahagian daripada harga barangan atau perkhidmatan yang dibayar dahulu, tetapi akan hilang apabila transaksi itu dibatalkan. Wang yang hilang itu dianggap sebagai hibah (hadiah).

'Uqud al-Mu'awadat

Kontrak pertukaran.

'Uqud al-Tabarruat

Kontrak kebajikan.

'Uqud al-Ishtirak

Kontrak perkongsian.

Wakalah

Kontrak yang memberikan seseorang kuasa untuk menamakan seseorang untuk bertindak bagi pihaknya, selagi dia masih hidup, berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui.

Wadiah Yad Dhamanah

Barangan atau deposit yang disimpan untuk orang lain yang bukan pemiliknya. Memandangkan wadiah adalah amanah, depositori menjadi penjamin dan menjamin pembayaran balik jumlah keseluruhan deposit tersebut atau sebarang bahagian yang masih belum jelas dalam akaun pendeposit, apabila diminta. Pendeposit tidak berhak kepada sebarang perkongsian keuntungan tetapi depositori boleh memberikan pulangan kepada pendeposit sebagai penghargaan.

Zakat

Cukai yang ditetapkan oleh Islam ke atas semua yang memiliki kekayaan melebihi amaun tertentu pada kadar yang ditentukan oleh Syariah. Menurut ajaran Islam, zakat menyucikan harta dan jiwa. Objektifnya adalah untuk mengambil sebahagian daripada harta orang yang kaya dan diagihkan di kalangan lapan kategori manusia yang dinyatakan dalam al-Quran.