ASEAN
Latar belakang
Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok oleh lima Negara-negara Ahli yang asal, iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand. Brunei Darussalam menyertainya pada 8 Januari 1984, Vietnam pada 28 Julai 1995, Lao PDR dan Myanmar pada 23 Julai 1997, dan Kemboja pada 30 April 1999.
Deklarasi ASEAN menyatakan bahawa matlamat dan tujuan Kesatuan itu adalah: (1) untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan budaya di rantau ini dan (2) untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau melalui penghormatan bagi keadilan dan peraturan undang-undang dalam hubungan di kalangan negara-negara di rantau ini dan mematuhi prinsip-prinsip Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.
Pada tahun 2003, Pemimpin-pemimpin ASEAN memutuskan bahawa sebuah Komuniti ASEAN patut diwujudkan, mengandungi tiga tunggak, iaitu Komuniti Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN melalui Bali Concord II. Selaras dengan itu, matlamat untuk pengintegrasian kewangan dan pasaran modal diwujudkan melalui Pelan Tindakan Integrasi ASEAN dalam Kewangan (RIA-FIN), meliputi pembangunan pasaran modal, liberalisasi perkhidmatan kewangan dan kerjasama mata wang.
Ini diikuti dengan keputusan yang dibuat pada Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin 2006 untuk mempercepatkan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN kepada tahun 2015 dari tahun 2020, dan selaras dengan itu, masa bagi mencapai matlamat pelan tindakan ASEAN mengenai integrasi ASEAN dalam kewangan juga dipercepatkan lima tahun. Matlamat dan fokus strategik tersebut diperjelas dalam Rangka Tindakan Komuniti ekonomi ASEAN 2015, yang disokong oleh para pemimpin pada Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin ASEAN di Singapura pada November 2007.
Penglibatan SC dalam ASEAN
Forum Pasaran Modal ASEAN
SC memainkan peranan utama dalam Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), sebuah perkumpulan peringkat tinggi pengawal selia sekuriti ASEAN yang diwujudkan bawah naungan Menteri-menteri Kewangan ASEAN pada April 2004. ACMF telah membina satu set standard yang seragam mengenai penzahiran, dan sedang mengerjakan inisiatif lain yang akan menggalakkan dan mencapai integrasi pasaran modal yang lebih besar di rantau ini. SC mempengerusikan ACMF bagi tempoh tiga tahun dari bulan Februari 2006 hingga Ogos 2008.
Pada bulan Oktober 2008, bawah inisiatif ACMF, Menteri-menteri Kewangan ASEAN mengumumkan pengeluaran Skim ASEAN dan Standard Tambah untuk memudahcarakan penawaran sekuriti. Skim ini bertujuan menggalakkan integrasi pasaran modal di rantau ini, memudahcarakan lebih kecekapan dalam penjanaan dana rentas sempadan, dan menyediakan penjimatan kos kepada penerbit yang membuat tawaran dalam pelbagai bidang kuasa dalam ASEAN. Skim tersebut mengandungi satu set Standard ASEAN yang umum, dan keperluan tambahan yang ditentukan oleh ahli-ahli secara individu, dikenali sebagai Standard Tambah (Plus Standards).
Proses Menteri-menteri Kewangan ASEAN
SC telah memainkan peranan penting dalam menyokong proses Menteri-menteri Kewangan ASEAN. SC ialah ahli pelbagai Jawatankuasa Kerja ASEAN, iaitu Jawatankuasa Kerja Pembangunan Pasaran Modal (WC-CMD) dan Jawatankuasa Kerja Liberalisasi Perkhidmatan Kewangan (WC-FSL). WC-CMD ditugaskan untuk mencapai objektif keseluruhan Pelan Tindakan pembangunan pasaran modal ASEAN; iaitu untuk membangunkan pasaran kewangan yang mendalam dan mencapai kerjasama rentas sempadan di kalangan pasaran modal ASEAN. WC-FSL dimandatkan untuk memudahcarakan rundingan liberalisasi perkhidmatan kewangan bawah Kerangka Kerja Persetujuan Perkhidmatan ASEAN (AFAS), serta menyediakan kemudahan liberalisasi perkhidmatan kewangan oleh ASEAN dengan rakan dialognya.
SC, bersama-sama dengan Kementerian Kewangan Malaysia, pada masa ini mempengerusikan pasukan petugas Mekanisme Pembiayaan Infrastruktur ASEAN (AIFM). Pasukan petugas ini dimandatkan untuk mewujudkan persekitaran yang mudah cara untuk pembiayaan infrastruktur di rantau ini, dengan menggalakkan amalan terbaik dalam pembangunan infrastruktur, mewujudkan kerangka kerja mudah cara, membina keupayaan sektor swasta dan pasaran serantau bagi meningkatkan pengantaraan risiko bagi pembiayaan infrastruktur.
Proses Menteri-menteri Kewangan ASEAN + 3
SC juga telah memainkan peranan penting dalam proses Menteri-menteri Kewangan ASEAN + 3, dengan menyertai secara aktif dalam Inisiatif Pasaran Bon Asia (ABMI). Inisiatif ABMI, yang disokong oleh Menteri-menteri Kewangan ASEAN+3 pada bulan Ogos 2004, disasarkan ke arah memelihara pembangunan pasaran bon serantau, bagi menyalurkan secara berkesan, simpanan serantau kepada pelaburan serantau, dan mengelakkan daripada ketidakpadanan kematangan dan mata wang yang menyumbang kepada krisis kewangan Asia pada tahun 1997.
Ke arah membangunkan lagi pasaran bon yang cair dan berfungsi dengan baik dan menyalurkan secara berkesan simpanan yang banyak di rantau ini kepada keperluan pelaburan yang semakin meningkat, satu Pelan Tindakan ABMI yang baru telah dibina dan disokong oleh Menteri-menteri Kewangan ASEAN+3 pada bulan Mei 2008. Empat pasukan petugas diwujudkan untuk menangani perkara-perkara yang berikut:
|
I |
Menggalakkan penerbitan bon berdenominasi mata wang tempatan; |
|
II |
Memudahcarakan permintaan bagi bon berdenominasi mata wang tempatan; |
|
III |
Menambah baik kerangka kerja pengawalseliaan; dan |
|
IV |
Menambah baik infrastruktur berkaitan bagi pasaran bon. |
Ketika ini, SC mempengerusikan Pasukan Petugas III yang berusaha untuk mengukuhkan kerangka kerja pengawalseliaan dan penyeliaan bagi pasaran bon, memudahcarakan kerjasama di antara persatuan peniaga sekuriti dan SRO di rantau ini, menambah baik prosedur muflis yang berkaitan dengan transaksi bon dan menggalakkan penggunaan standard perakaunan dan pengauditan antarabangsa.