Tidak dinafikan ia merupakan satu lagi tahun yang mencabar bagi pasaran modal Malaysia. Namun begitu, pasaran modal Malaysia domestik berkembang sebanyak 3% kepada RM3.5 trilion pada 2021, disokong oleh infrastruktur kawal selia pasaran modal yang kukuh, ekosistem pasaran yang dipelbagai dan tahap permodalan peserta pasaran yang mantap. Lebih penting lagi, pasaran modal terus memainkan peranan utamanya dalam membiayai ekonomi dan menjadi pengantaraan tabungan dengan peningkatan ketara dalam aktiviti pengumpulan dana dan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi keseluruhan industri pengurusan dana.
Pada tahun sebelumnya, SC telah bekerjasama rapat dengan Bursa Malaysia dan pihak berkepentingan utama untuk membantu perniagaan pulih dan dibina semula berikutan kesan ekonomi COVID-19. Pelbagai pelepasan kawal selia kepada pasaran dan syarikat tersenarai telah dilanjutkan ketika SC menyelaraskan keutamaan strategiknya bagi memastikan pasaran modal kekal adil dan teratur, dan risiko yang muncul dipantau secara berkesan. Kami terus mempergiat inisiatif pembangunan terutamanya dalam meningkatkan agenda kemampanan, memperkembang pasaran modal Islam (ICM) dan menggalakkan inovasi.
SC juga mengeluarkan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) pada separuh kedua tahun berkenaan. Ini akan menetapkan nada dan hala tuju bagi inisiatif pembangunan dan pengawalseliaan untuk jangka sederhana. Saya yakin bahawa CMP3 akan melahirkan satu ekosistem pasaran yang relevan, cekap, dipelbagai dan inklusif.