Aktiviti Pemeriksaan
Seksyen 31E (1)(d) SCA memperuntukkan bahawa salah satu tanggungjawab utama AOB adalah untuk menjalankan program pemeriksaan dan pemantauan ke atas juruaudit bagi menilai tahap pematuhan mereka terhadap piawaian pengauditan dan etika.

Dalam melaksanakan tanggungjawab di atas, AOB boleh memeriksa firma audit PIE di bawah program pemeriksaan lazim atau program pemeriksaan khas.

Di bawah mana-mana program, pemeriksaan AOB boleh dijalankan pada peringkat firma atau peringkat tugasan ataupun kedua-duanya. Semakan pada peringkat firma tertumpu pada semakan sistem dan amalan kawalan kualiti firma audit serta tahap pematuhan terhadap keperluan Piawaian Antarabangsa Tentang Kawalan Kualiti 1 (ISQC 1). Semakan pada peringkat tugasan pula bertujuan untuk menilai tahap pematuhan terhadap piawaian pengauditan dan etika sesuatu tugasan audit yang dijalankan oleh juruaudit.
Soalan Lazim
  • 1. Apakah skop pemeriksaan yang dijalankan oleh AOB?
    Seksyen 31V SCA memperuntukkan bahawa AOB akan, dari semasa ke semasa, menjalankan pemeriksaan untuk menilai –
    1. tahap pematuhan terhadap piawaian pengauditan dan etika oleh juruaudit; dan
    2. kecukupan dan kesesuaian bukti audit yang diperolehi berhubung dengan laporan audit yang disediakan oleh seseorang juruaudit berkaitan dengan penyata kewangan teraudit entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual.
  • 2. Apakah jenis pemeriksaan yang dijalankan oleh AOB?
    Pemeriksaan terhadap juruaudit dilakukan oleh AOB melalui program pemeriksaan secara lazim atau program pemeriksaan khas.

    Pemeriksaan secara lazim dijalankan dengan memberi tumpuan pada bidang berisiko tinggi. Secara amnya, ia mempertimbangkan kesan yang mungkin timbul akibat daripada kualiti pengauditan firma audit atau juruaudit yang boleh menjejaskan keyakinan pasaran dan pelabur. Pemeriksaan khas pula biasanya didorong oleh isu tertentu, sama ada isu peristiwa atau industri yang mungkin menimbulkan risiko kepada perlindungan pelabur atau menimbulkan kebimbangan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan teraudit yang berkaitan.

    Pemeriksaan khas biasanya merangkumi aspek khusus sesuatu pengauditan, dijalankan dengan lebih mendalam dan terperinci berbanding pemeriksaan lazim.

    Seterusnya, pemeriksaan AOB boleh dijalankan pada peringkat semakan firma atau peringkat semakan tugasan ataupun kedua-duanya. Semakan pada peringkat firma tertumpu pada semakan ke atas sistem dan amalan kawalan kualiti firma audit dan tahap pematuhan terhadap keperluan Piawaian Antarabangsa Tentang Kawalan Kualiti 1 (ISQC 1). Semakan pada peringkat tugasan pula bertujuan untuk menilai tahap pematuhan terhadap piawaian pengauditan dan etika sesuatu tugasan audit yang dijalankan oleh juruaudit.
  • 3. Adakah firma audit akan dimaklumkan oleh AOB sebelum pemeriksaan dijalankan?
    AOB akan berusaha untuk memaklumkan kepada firma audit secara bertulis dalam tempoh 21 hari bekerja sebelum pemeriksaan lazim yang akan datang, dengan menyatakan tujuan dan waktu pemeriksaan akan dijalankan. Walau bagaimanapun, bagi pemeriksaan yang memerlukan tindakan serta merta, AOB mungkin tidak memberikan sebarang tempoh notis kerana kesannya yang besar terhadap kepentingan awam.
  • 4. Apakah pendekatan pemeriksaan AOB?
    AOB mengamalkan pendekatan pemeriksaan berasaskan risiko yang merupakan asas pelan pemeriksaan AOB. Dalam hal ini, AOB hanya akan menilai beberapa aspek dasar dan tatacara kawalan kualiti firma atau tugasan audit yang dianggap penting oleh AOB menurut pelan pemeriksaannya.
  • 5. Siapakah yang akan menjalankan pemeriksaan tersebut?
    Seksyen 31V(2) SCA memperuntukkan bahawa pemeriksaan akan dijalankan oleh mana-mana pegawai AOB atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh AOB yang disebut sebagai "Pegawai Pemeriksa".
  • 6. Apakah kewajipan firma audit semasa pemeriksaan dijalankan oleh AOB?
    Seksyen 31V(3) SCA memperuntukkan bahawa firma audit, rakan kongsi dan kakitangannya hendaklah memberi kerjasama kepada Pegawai Pemeriksa yang menjalankan pemeriksaan, dalam perkara berikut–
    1. memberikan akses kepada semua rekod, akaun, kertas kerja atau dokumen lain yang berkaitan;
    2. menyediakan salinan atau petikan daripada rekod, akaun, kertas kerja atau dokumen lain yang berkaitan; dan
    3. memberikan maklumat melalui temu bual secara lisan, secara bertulis atau dengan apa-apa cara lain yang ditentukan atau dikehendaki oleh Pegawai Pemeriksa.


  • 7. Apakah proses yang dijalankan oleh AOB dalam menyiapkan Laporan Pemeriksaan?
    Pada akhir proses pemeriksaan, Pegawai Pemeriksa akan menyediakan draf laporan pemeriksaan dan memberikan satu salinan draf laporan itu kepada firma audit. Kemudian, firma audit akan diberi tempoh 10 hari bekerja untuk memberikan jawapan bertulis terhadap draf laporan pemeriksaan itu. Selepas mengambil kira jawapan bertulis daripada firma audit, draf laporan pemeriksaan akan dimuktamadkan.
  • 8. Apakah tindakan seterusnya yang diperlukan daripada firma audit selepas menerima laporan pemeriksaan akhir?
    Firma audit dikehendaki mengenal pasti punca utama kepada semua pemerhatianb yang dikenal pasti oleh AOB dan menyediakan tindakan pemulihan yang berkaitan bagi menangani punca masalah tersebut. Firma audit harus menyediakan pelan tindakan pemulihannya dalam tempoh 21 hari bekerja dari tarikh laporan pemeriksaan akhir. AOB akan memantau dengan teliti pelaksanaan pelan tindakan pemulihan firma audit itu. Setiap suku tahun, firma audit dikehendaki memaklumkan kemajuan pelan tindakan pemulihan mereka kepada AOB.
HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup