Pendaftaran Firma dan Juruaudit Individu
AOB bertanggungjawab ke atas pendaftaran juruaudit entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual di bawah Bahagian IIIA Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA). Entiti berkepentingan awam dan kumpulan wang jadual ditakrifkan dalam Jadual 1 SCMA.

Pendaftaran juruaudit entiti kepentingan awam atau kumpulan wang jadual akan memastikan hanya juruaudit yang layak dan sesuai terlibat dalam pengauditan penyata kewangan entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual. Ini adalah selaras dengan salah satu tema strategik AOB di bawah rangka kerja strategiknya iaitu menggalakkan amalan audit berkualiti tinggi.

Oleh yang demikian, firma audit dan juruaudit individu yang ingin mendaftar dengan AOB dikehendaki membuat pengisytiharan dalam Borang Pendaftaran 1 dan 2 di Sistem Permohonan Pendaftaran Juruaudit (ARAS) berkaitan dengan status layak dan sesuai mereka. Selain itu, firma audit dikehendaki menyerahkan maklumat mengenai pematuhan terhadap Standard Kawalan Kualiti Antarabangsa (ISQC) 1 dan ISA yang Diperjelas mereka. ARAS boleh diakses di https://esubmissions.seccom.com.my/aras.

Pendaftaran AOB adalah sah sehingga dan melainkan ia dibatalkan atau digantung oleh AOB, ataupun ditarik balik. Selagi pendaftaran kekal sah, firma audit hendaklah memastikan bahawa ia dan juruaudit individu yang berdaftar dengan AOB kekal layak dan sesuai pada setiap masa seperti yang dikehendaki oleh SCMA. Firma audit juga bertanggungjawab mengemas kini maklumat di ARAS tepat pada masanya, dan dikehendaki menyerahkan borang Pengisytiharan Tahunan melalui ARAS kepada AOB dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja selepas 30 Jun setiap tahun kalendar.
  • Senarai Daftar Juruaudit
    Senarai Daftar Juruaudit Lembaga Pemantauan Audit setakat 31 Oktober 2020. 
  • Buku Panduan Pendaftaran
  • Soalan Lazim – Pendaftar AOB
    1. Siapakah yang mesti berdaftar dengan AOB?
      Seksyen 31N(1) SCMA memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh, melainkan jika dia didaftarkan sebagai juruaudit berdaftar dengan AOB –

      (a) Menggelar dirinya atau bertindak sebagai juruaudit entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual;
      (b) Dengan sengaja bersetuju untuk dilantik dan dengan sengaja bertindak sebagai juruaudit entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual; atau
      (c) Menyediakan untuk atau bagi pihak entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual sebarang laporan yang dikehendaki oleh Akta Syarikat 1965 yang perlu disediakan oleh seorang juruaudit.

      Mana-mana orang yang merupakan juruaudit syarikat yang diluluskan di bawah seksyen 8 Akta Syarikat 1965 dan yang merupakan rakan kongsi yang menandatangani atau yang menjalankan fungsi menyemak kawalan kualiti tugasan berhubung dengan penyediaan penyata kewangan teraudit entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual mesti berdaftar sebagai juruaudit individu dengan AOB.
    2. Jika saya mendaftar dengan AOB, adakah saya masih perlu menjadi juruaudit yang diluluskan di bawah seksyen 8 Akta Syarikat 1965?
      Ya, kerana salah satu kriteria untuk mendaftar dengan AOB adalah juruaudit yang diluluskan di bawah seksyen 8 Akta Syarikat 1965.
    3. Apakah perkara yang akan dipertimbangkan oleh AOB apabila mendaftarkan firma audit atau juruaudit individu?
      Dalam pendaftaran, AOB akan mengambil kira sama ada– Juruaudit telah memenuhi kriteria layak dan sesuai seperti yang dinyatakan di bawah seksyen 31P SCMA; dan Juruaudit telah melengkapkan dan menyerahkan borang pendaftaran yang berkaitan dalam talian di ARAS bersama dengan dokumen yang dikehendaki dan yuran pendaftaran yang perlu dibayar kepada AOB. Untuk maklumat lanjut mengenai kriteria, proses dan borang pendaftaran, anda dinasihatkan untuk merujuk Buku Panduan Pendaftaran AOB.
    4. Adakah saya perlu memperbaharui permohonan saya setiap tahun?
      Tidak. Walau bagaimanapun, anda masih perlu membayar yuran pendaftaran anda pada setiap ulang tahun tarikh sah pendaftaran seperti yang ditentukan oleh AOB.
    5. Apakah standard yang perlu diberi perhatian semasa mendaftar dengan AOB?
      Anda dikehendaki memberi perhatian kepada semua standard pengauditan, etika dan jaminan lain yang diterima pakai oleh AOB dari semasa ke semasa. Ini termasuk semua standard pengauditan, etika dan jaminan lain yang diterima pakai dan undang-undang dan pekeliling berkaitan yang diterbitkan oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA), termasuk ISQC 1.
    6. Bolehkah saya dilantik dalam mesyuarat agung sebagai juruaudit entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual sementara AOB memproses permohonan saya?
      Tidak, anda tidak dibenarkan untuk dilantik dalam mesyuarat agung sebagai juruaudit entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual sementara AOB memproses permohonan anda. Seksyen 31N(1)(b) SCMA memperuntukkan bahawa hanya juruaudit berdaftar dengan AOB boleh dengan sengaja bersetuju untuk dilantik dan dengan sengaja bertindak sebagai juruaudit entiti berkepentingan awam atau kumpulan wang jadual.
  • Soalan Lazim - Entiti Berkepentingan Awam Dan Kumpulan Wang Jadual
    1. Apakah entiti berkepentingan awam?
      Entiti kepentingan awam merujuk kepada entiti yang pada masa ini ditentukan di bawah Bahagian 1 Jadual 1 SCMA. Mereka termasuk–
      1. Syarikat awam tersenarai atau perbadanan yang disenaraikan di bursa saham;
      2. Suatu bank yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013;
      3. Suatu penanggung insurans yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013;
      4. Suatu pengendali takaful yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013;
      5. Suatu bank Islam yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013;
      6. Suatu institusi kewangan yang ditetapkan di bawah seksyen 212 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013;
      7. Suatu institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002;
      8. Suatu pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia bagi berurus niaga dalam sekuriti, derivatif atau pengurusan kumpulan wang;
      9. Suatu syarikat pegangan bursa yang diluluskan di bawah undang-undang sekuriti;
      10. Suatu bursa yang diluluskan di bawah undang-undang sekuriti;
      11. Suatu depositori pusat yang diluluskan di bawah undang-undang sekuriti;
      12. Suatu rumah penjelasan yang diluluskan di bawah undang-undang sekuriti;
      13. Suatu organisasi pengawalseliaan sendiri yang diiktiraf di bawah undang-undang sekuriti;
      14. Suatu pentadbir skim persaraan swasta yang diluluskan di bawah undang-undang sekuriti;
      15. Suatu repositori dagangan yang diluluskan di bawah undang-undang sekuriti; dan
      16. Capital Market Compensation Fund Corporation.

        Jadual 1 SCMA turut memperuntukkan bahawa Menteri Kewangan boleh menetapkan mana-mana orang lain sebagai entiti berkepentingan awam.
    2. Adakah syarikat swasta (Sdn Bhd), perkongsian dan pemilikan tunggal termasuk dalam kategori entiti berkepentingan awam?
      Tidak. Mereka bukan entiti berkepentingan awam melainkan mereka termasuk dalam mana-mana 16 entiti seperti yang dinyatakan di bawah Bahagian 1 Jadual 1 SCMA. Sebagai contoh, jika syarikat swasta (Sdn Bhd) adalah pemegang Lesen Pasaran Modal dan Perkhidmatan yang menjalankan perniagaan pengurusan dana, barulah syarikat swasta itu dianggap sebagai entiti berkepentingan awam.
    3. Apakah kumpulan wang jadual?
      Bahagian 2 Jadual 1 SCMA menetapkan dua (2) jenis kumpulan wang jadual. Mereka adalah–
      1. Skim persaraan swasta yang diluluskan; dan
      2. Skim unit amanah yang diluluskan.

        Bahagian 2 Jadual 1 SCMA turut memperuntukkan bahawa SC boleh menetapkan mana-mana dana pasaran modal lain sebagai kumpulan wang jadual.

  • Soalan Lazim - Sistem Permohonan Pendaftaran Juruaudit (ARAS)
    1. Apakah Sistem Permohonan Pendaftaran Juruaudit (ARAS)?
    Sistem Permohonan Pendaftaran Juruaudit (ARAS) adalah sistem dalam talian yang digunakan oleh AOB bagi memudah cara proses pendaftaran. ARAS boleh diakses di https://esubmissions.seccom.com.my/aras. Sila hubungi talian bantuan ARAS di [email protected] atau hubungi 03-6204 8000 untuk mendapatkan sebarang bantuan.

    2. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan nama pengguna dan kata laluan ARAS?
    Untuk pendaftaran kali pertama, anda perlu mengisi borang permohonan yang boleh dimuat turun di sini (pdf) atau dari laman sesawang ARAS dan hantar ke AOB sama ada melalui pos atau e-mel di [email protected] Selepas itu nama pengguna dan kata laluan akan dihantar kepada anda. Setiap firma audit akan diberi dua (2) nama pengguna dan kata laluan.

    3. Apakah yang perlu saya lakukan jika saya terlupa nama pengguna dan/atau kata laluan?
    Sila hubungi Talian Am AOB di 03-6204 8000 atau e-mel kepada kami di [email protected] untuk mendapatkan bantuan mengenai perkara ini.

    4. Siapakah yang boleh menjadi pegawai penyerahan dan apakah peranan pegawai penyerahan?
    Pegawai penyerahan tidak perlu menjadi juruaudit berdaftar dan boleh jadi mana-mana kakitangan firma. Nama pengguna dan kata laluan kepada sistem akan diberikan kepada pegawai penyerahan yang ditetapkan. Pegawai penyerahan akan bertanggungjawab terhadap semua perkara berkaitan dengan pendaftaran dan menjadi orang perhubungan utama bagi komunikasi antara firma dengan AOB berkaitan dengan ARAS.

    5. Bagaimanakah cara untuk saya mengetahui sekiranya permohonan elektronik saya telah diterima?
    Anda akan menerima pemberitahuan melalui peti masuk ARAS dan e-mel berdaftar anda sebaik sahaja permohonan elektronik anda diserahkan. Anda juga boleh memeriksa status permohonan anda melalui butang "Semak Status".

    6. Bilakah AOB akan memproses permohonan pendaftaran saya?
    Permohonan anda akan diproses hanya setelah AOB menerima permohonan yang lengkap. Penyerahan permohonan dianggap lengkap apabila permohonan diserahkan melalui ARAS dan pembayaran yuran pendaftaran telah dibuat. Anda dinasihatkan untuk menyemak status permohonan anda di dalam sistem talian. Semua notis, berita, kemas kini dan e-mel yang berkaitan boleh didapati melalui ARAS. Semua pendaftaran yang berjaya akan mencetuskan pemakluman melalui e-mel yang akan dihantar ke alamat e-mel berdaftar anda dan peti masuk ARAS. AOB juga akan mengeluarkan surat pemberitahuan yang mengesahkan pendaftaran anda. Untuk maklumat lanjut mengenai kriteria, proses dan borang pendaftaran, anda dinasihatkan untuk merujuk Buku Panduan Pendaftaran AOB.

    7. Berapa lama masa diambil oleh AOB untuk memproses penyerahan pendaftaran?
    Proses pendaftaran dalam talian hanya akan bermula selepas anda menyerahkan permohonan yang lengkap DAN pembayaran yuran pendaftaran telah dibuat. Selepas KEDUA-DUA perkara tersebut dipenuhi, proses pendaftaran akan mengambil masa sehingga 14 hari bekerja.

    8. Dalam keadaan apakah proses pendaftaran akan mengambil masa lebih lama dari 14 hari bekerja?
    Keadaan ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada perkara berikut–
    • Borang dalam talian yang diserahkan tidak lengkap atau maklumat / dokumen tidak mencukupi.
    • Walaupun borang telah diserahkan, pembayaran yuran pendaftaran belum diterima secara fizikal oleh AOB.
    • Anda meminta untuk membuat pindaan atau kemas kini terhadap permohonan yang anda serahkan.

    Nota: 14 hari bekerja tidak termasuk masa apabila mana-mana keadaan di atas timbul.

    9. Adakah maklumat peribadi saya selamat dan dirahsiakan dalam sistem pendaftaran dalam talian?
    Di AOB, kami berpandukan keperluan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Dasar Kerahsiaan dalaman kami. Oleh itu, kami menghargai kepercayaan yang anda terhadap AOB, dan kami komited untuk menghormati privasi anda dan keselamatan maklumat peribadi anda. Kami tidak akan berkongsi, menjual atau mengedarkan maklumat peribadi anda kepada mana-mana pihak ketiga, melainkan jika kami dikehendaki berbuat demikian oleh entiti kerajaan atau mahkamah.

    10. Adakah sebarang tarikh akhir untuk menyerahkan borang setelah profil penyerahan dilakukan?
    Tidak ada tarikh akhir.

    11. Bolehkah saya membuat apa-apa perubahan terhadap borang yang telah saya serahkan?
    Anda hanya dibenarkan membuat perubahan pada borang anda sebaik sahaja anda berjaya mendaftar dengan menggunakan fungsi "Kemas kini" ARAS. Oleh itu, sila pastikan semua maklumat adalah betul sebelum diserahkan melalui ARAS. Dalam kes di mana anda perlu meminda permohonan yang telah diserahkan ketika permohonan masih dalam proses (oleh AOB), anda boleh meminta AOB untuk mengembalikan penyerahan anda. Sila ambil perhatian bahawa, dalam keadaan ini, tempoh 14 hari bekerja pemprosesan tidak termasuk hari-hari di mana permohonan dikembalikan kepada pengguna luar ARAS. Hari pemprosesan akan disambung sebaik sahaja anda memulangkan semula permohonan itu kepada AOB.

    12. Apakah format dokumen yang boleh dilampirkan?
    PDF, Microsoft Word dan Excel, JPG.

    13. Mengapakah sistem tidak membenarkan saya menyerahkan Borang 1 atau Borang 2 sahaja?
    Anda tidak boleh menyerahkan Borang 2 jika anda belum menyiapkan sekurang-kurangnya satu Borang 1. Begitu juga, anda tidak akan boleh menyerahkan permohonan Borang 1 yang pertama jika Borang 2 belum diselesaikan.

    14. Saya ingin menyerahkan permohonan pendaftaran dengan AOB buat kali pertama. Bolehkah saya melakukannya secara manual?
    Tidak, anda tidak boleh menyerahkan pendaftaran secara manual. Semua permohonan pendaftaran mestilah diserahkan secara dalam talian melalui ARAS di https://esubmissions.seccom.com.my/aras.

    15. Bagaimanakah saya boleh menarik balik permohonan yang telah saya serahkan?
    Anda boleh menggunakan fungsi "Menarik balik permohonan" di ARAS dan anda dikehendaki mengisytiharkan sebab permohonan ditarik balik. Pada masa yang sama, anda perlu memaklumkan kepada AOB secara bertulis. AOB akan menghantar e-mel pemberitahuan bagi mengesahkan permohonan anda telah ditarik balik sebaik sahaja permohonan anda untuk menarik balik permohonan pendaftaran telah dinilai.

    16. Saya ingin menarik balik permohonan yang saya serahkan, mengapakah sistem tidak mengembalikan borang saya dengan segera?
    Untuk menarik balik permohonan atau pendaftaran, anda perlu memaklumkan kepada AOB secara bertulis. Sila rujuk Buku Panduan Pendaftaran AOB untuk maklumat lanjut mengenai Penarikan balik Permohonan.

    17. Siapa yang boleh saya hubungi jika ARAS tidak berfungsi, atau jika saya mempunyai pertanyaan teknikal mengenai permohonan dalam talian saya seperti tidak dapat menyimpan borang saya, meneruskan ke tab seterusnya, dan lain-lain?
    Untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan ARAS, sila hubungi Talian Am AOB di nombor 03-6204 8000 atau e-mel kepada kami di [email protected]

    18. Adakah saya akan didaftarkan jika firma audit saya tidak melengkapkan Bahagian 2 Borang 2, iaitu Pematuhan Terhadap ISQC 1?
    Untuk pendaftaran baru, firma anda dikehendaki melengkapkan semua bahagian Borang 2 dan membuat pembayaran yuran pendaftaran yang diperlukan sebelum AOB boleh mula memproses penyerahan permohonan anda. Firma anda juga dikehendaki mengemukakan kepada AOB perihal firma anda dan bagaimana ia telah mematuhi ISQC 1. Untuk pendaftaran yang sedia ada pula, anda boleh memilih untuk tidak mengisi bahagian ini jika tidak ada perubahan daripada penyerahan anda yang terdahulu.

    19. Berapa kerap saya perlu mengemaskini maklumat di ARAS?
    Selagi pendaftaran anda masih sah, firma anda bertanggungjawab untuk mengemas kini maklumat di ARAS tepat pada masanya. Dalam hal ini, anda dikehendaki memaklumkan kepada AOB dalam tempoh 10 hari bekerja sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam butiran yang diserahkan dalam Borang 1 (juruaudit individu) dan Borang 2 (firma) di ARAS. Firma anda juga dikehendaki menyerahkan borang Pengisytiharan Tahunan melalui ARAS kepada AOB dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja selepas 30 Jun setiap tahun kalendar.
  • Soalan Lazim - Bayaran Pendaftaran
    1. Berapakah yuran pendaftaran?
    RM8,000, yang perlu dibayar semasa menyerahkan permohonan pendaftaran juruaudit individu dan pada setiap ulang tahun tarikh pendaftaran berkuatkuasa seperti yang ditentukan oleh AOB selepas itu.

    2. Bagaimanakah cara untuk membayar yuran pendaftaran saya?
    Bayaran pendaftaran AOB sebanyak RM8,000 bagi seorang juruaudit individu hendaklah dibuat dalam bentuk draf bank yang dibayar kepada "Lembaga Pemantauan Audit". Pembayaran hendaklah dialamatkan kepada–
    Lembaga Pemantauan Audit
    Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
    3, Persiaran Bukit Kiara
    Bukit Kiara
    50490 Kuala Lumpur

    3. Jika saya adalah rakan kongsi yang didaftarkan di bawah lebih daripada satu firma audit yang beroperasi sebagai satu entiti audit, adakah saya perlu membayar yuran pendaftaran untuk setiap firma audit di mana saya adalah rakan kongsinya?
    Jika anda seorang juruaudit individu yang didaftarkan sebagai juruaudit bagi lebih daripada satu firma audit, anda dikehendaki membayar yuran pendaftaran tahunan untuk setiap firma audit yang anda berdaftar dengannya.
  • Soalan Lazim - Penolakan, Penarikan balik, Pembatalan atau Penggantungan Pendaftaran
    1. Adakah saya akan dimaklumkan jika permohonan pendaftaran saya ditolak? Adakah saya juga dimaklumkan jika status pendaftaran saya dibatalkan atau digantung oleh AOB?
    Ya, anda akan dimaklumkan dan diberi peluang untuk merayu. AOB akan mempertimbangkan respons anda dan anda akan dimaklumkan tentang keputusan AOB. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan keputusan AOB, anda boleh membuat rayuan kepada SC dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan itu tersebut.

    2. Sekiranya permohonan saya ditolak, adakah yuran pendaftaran saya akan dikembalikan?
    Sekiranya permohonan anda ditolak atas apa jua alasan, AOB akan mengembalikan sebarang bayaran yang telah dibuat untuk pendaftaran.

    3. Bolehkah saya menarik balik status berdaftar saya dengan AOB?
    Ya, anda boleh menarik balik status berdaftar anda dengan memaklumkan AOB secara bertulis sebab anda ingin bertindak sedemikian. Anda juga perlu memulakan proses menarik balik pendaftaran dengan menekan butang "Menarik balik pendaftaran" di ARAS. Sila ambil perhatian bahawa penarikan balik pendaftaran adalah tertakluk kepada kelulusan AOB dan yuran pendaftaran tidak akan dikembalikan. Sebaik sahaja anda telah menarik balik status berdaftar anda, anda tidak lagi dibenarkan untuk menggelarkan diri anda sebagai juruaudit berdaftar dengan AOB.

    4. Bolehkah AOB membatalkan atau menggantung pendaftaran saya walaupun saya telah didaftarkan?
    Ya, seksyen 31Q SCMA memperuntukkan bahawa AOB boleh membatalkan atau menggantung pendaftaran yang telah diberikan kepada seseorang juruaudit jika–
    • Juruaudit dianggap tidak sesuai dan layak semasa tempoh pendaftaran;
    • Juruaudit melanggar mana-mana terma atau syarat yang dikenakan oleh AOB berkenaan dengan pendaftarannya; atau
    • Juruaudit gagal membayar mana-mana yuran sebagaimana yang ditentukan oleh AOB. 
HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup