Pasaran Modal Islam
Dalam sesebuah pasaran modal Islam (ICM), urus niaga pasaran dilakukan dengan cara yang tidak bertentangan dengan amalan umat Islam dan Syariat agama Islam. Peraturan dan Syariat agama diamalkan dengan tegas agar aktiviti pasaran bebas daripada kegiatan yang dilarang oleh Islam seperti riba, perjudian (maisir) dan kesamaran (gharar).
ICM merupakan satu komponen pasaran modal keseluruhan di Malaysia. Ia memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. ICM berfungsi sebagai pasaran yang selari dengan pasaran modal konvensional, dan memainkan peranan pelengkap kepada sistem perbankan Islam dalam memperluas dan mengembangkan pasaran kewangan Islam di Malaysia.

Apabila pasaran menjadi lebih kompleks dan sofistikated, ia memerlukan infrastruktur sokongan agar sistem pasaran tersebut dapat beroperasi dan berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan. Inisiatif awal SC dalam menubuhkan Jabatan Pasaran Modal Islam (ICMD) di bawah Kumpulan Perniagaan Strategi dan Pembangunannya adalah untuk menyediakan infrastruktur yang sangat diperlukan. Mandat ICMD adalah untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan termasuk merumuskan dan memudah cara pelan jangka panjang untuk mengukuhkan lagi ICM di Malaysia.

Majlis Penasihat Syariah (MPS) telah ditubuhkan pada bulan Mei 1996 untuk menasihati Suruhanjaya mengenai hal-hal Syariah yang berkaitan dengan ICM. Ahli-ahli MPS merupakan individu yang berkelayakan yang boleh mengemukakan pendapat dalam hal-hal Syariah dan mempunyai pengalaman yang luas dalam pemakaian Syariah, terutamanya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Hari ini terdapat pelbagai produk pasaran modal bagi pelabur Muslim yang hanya ingin melabur dan berurus niaga dalam ICM. Produk-produk tersebut termasuk sekuriti patuh Syariah SC, sukuk, unit amanah Islam, indeks Syariah, waran (TSR), waran panggilan dan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah.
slaid pembentangan oleh Zainal Izlan Zainal Abidin, Pengarah Urusan, Pembangunan & Pasaran Islam
HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup