Acara Maya SC InvestSmart® Fest 2020 Sasar Untuk Tingkatkan Literasi Pelaburan dan Kesedaran Mengenai Penipuan
23 Oktober 2020   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan pesta pendidikan pelabur tahunannya yang utama iaitu InvestSmart® Fest 2020, bermula 23 hingga 25 Oktober 2020. Ini merupakan acara tahunan InvestSmart® Fest kali ketujuh, dan buat kali diadakan secara maya.

Tahun ini InvestSmart® Fest bertemakan “Silap Labur Duit Lebur” yang juga diadakan untuk menyokong Bulan Literasi Kewangan 2020 yang pertama anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN). InvestSmart® Fest yang bertujuan untuk melengkapkan para pelabur dengan asas-asas untuk membuat keputusan pelaburan yang mantap mengetengahkan lebih 35 pempamer maya yang terdiri daripada pengantara pasaran modal, persatuan, pengawal selia dan pengendali pendanaan ramai berasaskan ekuiti, pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan pasaran aset digital. Bursa Malaysia Berhad, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia merupakan rakan kongsi acara SC InvestSmart® Fest tahun ini.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata InvestSmart® Fest merupakan peluang bagi rakyat Malaysia untuk mempelajari kaedah mencapai kesejahteraan kewangan, di samping meningkatkan kesedaran mereka mengenai skim penipuan yang meningkat.

Walaupun merancang awal untuk persaraan penting untuk mencapai kesejahteraan kewangan seseorang, tinjauan SC menunjukkan bahawa rakyat Malaysia cenderung untuk memulakan rancangan persaraan hanya pada peringkat akhir kehidupan mereka, iaitu sekitar 44 tahun ke atas. SC menambah bahawa penting bagi semua rakyat Malaysia untuk belajar mengurus kewangan dan mula menabung dan melabur awal, walaupun hanya dalam jumlah yang kecil, untuk mengendalikan kewangan mereka. Dengan meningkatnya skim-skim penipuan, SC telah mempergiatkan kempen kesedaran pencegahan penipuan sejak tahun lalu. Sehingga akhir September tahun ini, SC telah menerima 370 pertanyaan dan aduan mengenai skim pelaburan tidak sah berbanding 317 pada sepanjang tahun lalu. Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar menegaskan bahawa SC baru-baru ini telah menubuhkan pasukan petugas dalaman untuk memberi tumpuan kepada penyiasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu di sebalik skim penipuan ini dan menggesa orang ramai untuk tampil memberikan sebarang maklumat untuk membantu SC memerangi skim penipuan ini. 

SC menggesa para pelabur agar berhati-hati sebelum melabur dalam mana-mana skim yang dipromosikan di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp Messenger. Pelabur hendaklah menggunakan pelbagai saluran yang disediakan oleh SC, seperti Senarai Berhati-Hati (Alert List) SC, untuk mengesahkan kesahihan skim pelaburan dan status individu yang mempromosinya. Pelabur juga boleh menghubungi SC di talian +603 6204 8999 atau e-mel: [email protected] jika mereka telah dipelawa untuk melabur dalam skim yang menjanjikan pulangan yang indah khabar dari rupa.

InvestSmart® Fest 2020 menampilkan barisan pakar-pakar industri yang ternama untuk berkongsi pandangan mengenai peluang pelaburan, pengurusan kewangan, perancangan persaraan, cara digitalisasi mempengaruhi keputusan pelaburan di samping mengingatkan orang ramai agar terus berwaspada ketika melabur. Setakat ini, acara tahun ini telah berjaya menarik lebih daripada 5,000 peserta.

Orang ramai juga boleh meraih manfaat daripada sesi penilaian perancangan kewangan percuma bersama para perancang kewangan berlesen di bawah program #FinPlan4u, yang diadakan dalam talian bermula 19 hingga 25 Oktober 2020. Di samping itu, orang ramai juga berpeluang memenangi baucar dalam talian melalui hadiah cabutan bertuah dan kuiz pop yang diadakan sepanjang acara 3 hari itu.

Untuk maklumat yang lebih lanjut atau menyertai acara secara langsung, sila layari www.investsmartsc.my.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup