ACMF Memacu Jalinan Hubungan Yang Lebih Baik Bagi Pasaran Modal ASEAN
2 September 2015   |   Kuala Lumpur
Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) terus memainkan peranan untuk memacu jalinan hubungan yang lebih baik bagi pasaran modal serantau bernilai US$3.5 trilion yang bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang dan ruang yang boleh dimanfaatkan oleh perniagaan dan pelabur ASEAN, serta menyumbang kepada pertumbuhan dan integrasi ekonomi serantau.

Hari ini, sepuluh pengawal selia pasaran modal ASEAN berkumpul di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat ke-23, yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Ketika ini SC merupakan Pengerusi ACMF, sebuah badan pengawal selia pasaran modal ASEAN peringkat tinggi. ACMF diwujudkan di bawah naungan Menteri-menteri Kewangan ASEAN untuk integrasi pasaran modal serantau yang lebih mantap.

Hari ini ACMF mengumumkan pelaksanaan Rangka Kerja Semakan yang Diperkemas bagi Prospektus Bersama ASEAN, melalui pelancaran sebuah buku panduan yang memperincikan aspek operasi rangka kerja tersebut. Penerbit rentas sempadan kini boleh menikmati masa terbitan ke pasaran yang lebih singkat dan akses kepada modal di seluruh rantau ini dengan lebih cepat. Rangka Kerja tersebut telah ditandatangani oleh SC, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand pada bulan Mac tahun ini.

Pada mesyuarat hari ini, para pengawal selia meneliti semula kemajuan inisiatif utama di bawah ACMF, termasuk rangka kerja semakan prospektus ASEAN, kedudukan tadbir urus korporat syarikat-syarikat awam tersenarai di rantau ini, serta penawaran rentas sempadan Skim Pelaburan Kolektif (CIS) ASEAN. Pengawal selia pasaran modal ASEAN juga membincangkan kesan perkembangan pasaran terkini dan prospek bagi pasaran modal di rantau ini.

Rangka kerja penawaran rentas sempadan CIS ASEAN, yang telah memulakan operasi pada Ogos 2014, telah mendapat sambutan yang baik daripada pengurus dana di rantau ini, dan setakat ini 11 dana telah menerima Kelayakan CIS ASEAN daripada negara-negara ahli yang mengambil bahagian, iaitu Malaysia, Singapura dan Thailand.

Sementara itu, ACMF juga menyelesaikan Pelan Tindakan 2016-2020 ACMF, yang dibangunkan melalui kerjasama di antara pengawal selia dan peserta pasaran di rantau ini, untuk menetapkan objektif strategik ACMF bagi mencapai pasaran modal serantau yang saling berhubung, menyeluruh dan berdaya tahan untuk tempoh lima tahun akan datang. ACMF menyedari bahawa pencapaian objektif Pelan Tindakan bergantung kepada kesesuaian komersial inisiatif-inisiatif tersebut dan sambutan industri. Oleh itu, ACMF akan memulakan proses perbincangan yang lebih terfokus berkenaan dengan Pelan Tindakan ACMF dengan pemegang kepentingan utama, termasuk peserta industri domestik utama di setiap negara ahli.

Salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Tindakan tersebut adalah Program Pembangunan Pasaran ACMF (A-MDP) untuk memudahcara pembangunan struktur pasaran negara-negara anggota melalui pelbagai program pembangunan kapasiti. Matlamat utama A-MDP ialah untuk membolehkan penyertaan menyeluruh negara-negara anggota dalam inisiatif ACMF, serta untuk memupuk kepakaran kawal selia domestik dan serantau yang diiktiraf di peringkat global.

Pelan Tindakan tersebut akan dibentangkan kepada Menteri-menteri Kewangan ASEAN untuk kelulusan di mesyuarat akan datang pada tahun 2016.

Maklumat lanjut mengenai ACMF dan inisiatifnya boleh didapati di laman web ACMF, www.theacmf.org.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup