ACSR adakan Perundingan Awam pada Februari ke atas Penggunaan Piawaian ISSB di Malaysia

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 8 Januari 2024

Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) akan mengadakan perundingan awam atas talian pada bulan hadapan untuk mendapatkan maklum balas ke atas penggunaan piawaian pendedahan kemampanan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) di Malaysia1.

ACSR, yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan dibentuk dengan pengesahan Kementerian Kewangan, terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Pemantauan Audit dan Yayasan Pelaporan Kewangan.

ISSB membangunkan dua piawaian pertamanya selepas maklum balas dan pertanyaan daripada G20, Lembaga Piawaian Kestabilan Kewangan, Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) dan komuniti perniagaan dan pelabur untuk standard yang sama bagi mendedahkan maklumat kemampanan, termasuk risiko dan peluang berkaitan iklim.

Dua piawaian pertamanya ialah IFRS S1 (Keperluan Am untuk Pendedahan Maklumat Kewangan berkaitan Kemampanan) dan IFRS S2 (Pendedahan berkaitan Iklim).

Pada Persidangan Perubahan Iklim PBB ke-28 (COP28) baru-baru ini, pelabur dengan aset di bawah pengurusan bernilai lebih daripada USD120 trilion menyuarakan sokongan mereka terhadap penggunaan Piawaian ISSB.

Mengulas mengenai perkara ini, Pengerusi SC Dato' Seri Dr Awang Adek Hussin berkata: “Sektor kewangan, khususnya pasaran modal, harus terus memudahkan pembiayaan dan pelaburan bagi menyokong inisiatif utama Kerajaan untuk menangani isu berkaitan kemampanan termasuk kesan iklim perubahan pada ekonomi.

“Untuk memudahkan pengumpulan dana, ketersediaan pendedahan yang boleh dipercayai dan setanding dengan piawaian antarabangsa amat penting. Sama pentingnya juga ialah pelaksanaan perkadaran dalam penggunaan piawaian ini dan kesalingoperasian antara rangka kerja global dan domestik, untuk meringankan beberapa cabaran yang mungkin dihadapi syarikat semasa mereka beralih kepada piawaian baharu,” katanya.

Perundingan awam atas talian ini dijadualkan selama enam minggu. Orang ramai boleh beri pandangan dan maklum balas mengenai pertimbangan kritikal termasuk pendekatan pelaksanaan, masa dan jaminan pendedahan kemampanan di Malaysia.

Datuk Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan SC dan Pengerusi ACSR berkata: “Walaupun pertimbangan segera adalah untuk Piawaian ISSB diguna pakai kepada penerbit tersenarai, kami sedar bahawa terdapat juga permintaan untuk tindakan dan maklumat berkaitan kemampanan mengenai penerbit tidak tersenarai.”

“Oleh itu, kami amat menggalakkan semua pihak berkepentingan, termasuk penyedia, pelabur, penyedia jaminan kemampanan, agensi penarafan dan lain-lain untuk berkongsi pandangan mereka, kerana ini akan membantu membentuk rangka kerja pelaporan kemampanan negara,” katanya.

Tahun lepas, ACSR bertemu dengan wakil kanan dari Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa (IAASB) untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang cadangan piawaian jaminan untuk maklumat kemampanan, yang telah dibangunkan dan disediakan oleh IAASB untuk perundingan awam antara Ogos dan Disember 2023.

Rangka kerja jaminan yang teguh adalah penting untuk memastikan kebolehpercayaan maklumat kemampanan yang didedahkan, dan untuk mengurangkan risiko pencucian hijau.

1Yayasan Pemegang Amanah IFRS mengumumkan pembentukan ISSB pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26). ISSB telah ditubuhkan untuk membangunkan garis asas global yang komprehensif untuk pelaporan kemampanan yang akan memenuhi keperluan pelabur dan pasaran kewangan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup