Agen Unit Amanah Institusi perlu daftar dengan FMUTM bagi memasarkan produk unit amanah pihak ketiga

Kuala Lumpur, 31 Januari 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan bahawa semua institusi dan wakil yang ingin atau yang telah memasarkan produk-produk unit amanah pihak ketiga mesti mendapatkan kelulusan dan didaftarkan dengan Persekutuan Pengurus Unit Amanah Malaysia (FMUTM). Walaupun telah memperolehi kelulusan FMUTM, pihak-pihak berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan muktamad daripada SC.

Syarat ini akan berkuatkuasa sebaik sahaja Garis Panduan Pendaftaran Agen-agen Institusi bagi Pemasaran dan Pengedaran Unit-unit Amanah (Garis Panduan) mula dikuatkuasakan pada 1 Februari 2000. Garis Panduan ini akan mengawal pengedaran unit amanah pihak ketiga oleh agen-agen unit amanah institusi.

Para pelabur adalah dinasihatkan supaya hanya berurusan dengan agen-agen unit amanah institusi yang berdaftar dan wakil-wakil mereka. Mereka juga diingatkan supaya membaca dan memahami secara keseluruhan kandungan prospektus tabung unit amanah sebelum melabur.

FMUTM, sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk mendaftar semua pihak yang terlibat dalam pemasaran dan pengagihan produk-produk unit amanah, telah menghasilkan Garis Panduan berkenaan berikutan beberapa perundingan dengan pihak SC dan pihak-pihak berkuasa yang lain. Persekutuan ini juga bertanggungjawab untuk menerbitkan dan mentadbir Garis Panduan tersebut. SC mengucapkan syabas kepada FMUTM atas usaha-usahanya untuk merumuskan Garis Panduan ini.

Terbitan Garis Panduan ini merupakan fasa kedua dan terakhir bagi usaha SC untuk merumuskan satu rangka kerja bagi pemasaran dan pengedaran produk-produk unit amanah. Kemuncak fasa pertama usaha ini merupakan pengenalan kepada Garis Panduan Pemasaran & Pengedaran Unit Amanah yang hanya meliputi pemasaran produk-produk unit amanah syarikat oleh agen-agen dan kakitangan-kakitangan pemasaran syarikat pengurusan dan pihak-pihak yang terbabit dengannya.

SECURITIES COMMISSION MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup