Akses lebih meluas bagi pelabur runcit terhadap bon dan sukuk
7 September 2012   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan kerangka bon dan sukuk runcit Malaysia yang memberikan akses secara langsung kepada pelabur runcit untuk melabur dalam bon dan sukuk.

Pelancaran ini adalah sejajar dengan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2 SC bagi memudahkan penyertaan runcit yang lebih besar dalam pasaran bon dan sukuk. Kerangka ini membolehkan bon dan sukuk runcit diterbitkan dan didagangkan sama ada di bursa (Bursa Malaysia) atau atas kaunter (OTC) melalui bank-bank yang dilantik. Sehubungan ini, SC telah meluluskan peraturan dan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia bagi memudahkan penawaran bon dan sukuk runcit.

“Kerangka bon dan sukuk runcit adalah bagi memenuhi permintaan pelabur runcit bagi mendapatkan akses yang lebih meluas terhadap lebih banyak jenis produk pelaburan. Penerbit juga kini mempunyai akses terhadap kumpulan pelabur yang lebih besar,” kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.

Pada peringkat pengenalan, pelabur runcit boleh melabur dalam bon dan sukuk yang diterbitkan atau yang dijamin oleh kerajaan Malaysia. Penerbitan oleh penerbit-penerbit ini adalah tertakluk kepada keperluan dan kehendak pembiayaan masing-masing.

Dalam peringkat seterusnya, akses pelabur runcit terhadap bon dan sukuk akan dikembangkan bagi memasukkan, antara lain, terbitan oleh syarikat tersenarai awam dan bank-bank yang dilesenkan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) atau Akta Perbankan Islam 1983. Penerbitan peraturan dan garis panduan yang berkenaan disasarkan pada Januari 2013.

Pendekatan berperingkat ini memberikan masa bagi pelabur runcit memperoleh pemahaman yang diperlukan dan membiasakan diri dengan dagangan dalam bon dan sukuk. SC, Bursa dan pasaran market akan bekerjasama bagi meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan pelaburan dalam pasaran bon dan sukuk.

Satu set soalan lazim mengenai pasaran bon dan sukuk runcit boleh didapati di laman sesawang SC di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup