Amaran SC - permohonan saham berganda menyalahi undang-undang

Kuala Lumpur, 20 Mac 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin memberi amaran kepada para pelabur bahawa adalah menyalahi undang-undang mengemukakan permohonan saham menggunakan nama orang lain dalam tawaran awam permulaan. Berkebetulan dengan amaran ini adalah pendakwaan terhadap lima individu oleh SC hari ini bagi kesalahan berkaitan dengan permohonan saham berganda. Lima orang itu akan dibicarakan terhadap kesalahan tersebut.

Seseorang yang membuat permohonan seperti yang tersebut di atas melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 87A Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) dan jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda minimum satu juta ringgit dan penjara sehingga 10 tahun di bawah Seksyen 88B SIA.

Situasi berikut adalah dianggap sebagai permohonan yang menyalahi undang-undang:

  • Seseorang yang membuat sejumlah permohonan dengan menggunakan nama orang lain, dengan persetujuan mereka;
  • Seseorang yang membuat sejumlah permohonan dengan menggunakan nama orang lain, tanpa persetujuan mereka; dan
  • Seseorang yang membuat sejumlah permohonan seperti 1) dan 2) dan pada masa yang sama, menipu dalam proses pengundian saham dengan bantuan kakitangan rumah terbitan.

SC, bersama bursa-bursa, rumah terbitan dan depositori pusat, sedang memperkemaskan mekanisme untuk terus memperbaiki aspek-aspek yang berkaitan pencegahan dan pengesanan insidens permohonan saham berganda.

Para pelabur harus juga tahu bahawa rumah terbitan secara automatik menolak permohonan jika ia mengesan lebih daripada satu permohonan oleh seseorang individu. Oleh itu, membuat permohonan saham berganda tidak akan meningkatkan peluang berjayanya permohonan seseorang individu.

Sejauh mana penyalahgunaan berkaitan dengan kegiatan tersebut, hingga kini, masih belum sampai ke tahap yang boleh dianggap memberi kesan yang negatif kepada keadilan dan perlakuan yang sepatutnya dalam proses pengundian saham yang dilaksanakan di rumah-rumah terbitan. Walau bagaimanapun, SC tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa undang-undang sepenuhnya terhadap mereka yang dikesan terlibat dalam permohonan saham berganda bagi memelihara keutuhan proses pengundian saham.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup