Angka Hasil yang Mengelirukan - SC Mendakwa Bekas Pengarah Urusan Welli Multi dan Pengarah Eksekutif; Mengkompaun Bekas CEO

Kuala Lumpur , 15 April 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mendakwa Ang Sun Beng dan Ang Soon An, bekas Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Welli Multi Corporation Berhad (WMCB), atas empat kesalahan memberikan kenyataan mengelirukan kepada SC dan Bursa Malaysia Securities Berhad.

Dua beradik itu, kedua-duanya Pengarah WMCB pada masa syarikat itu memberikan kenyataan mengelirukan tersebut, didakwa di bawah seksyen 122B(a)(bb) yang dibaca bersama dengan seksyen 122(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA).

Kenyataan mengelirukan itu adalah berhubung dengan angka hasil dalam dokumen WMCB yang berikut:

  • Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun berakhir pada 31 Disember 2005;
  • Laporan suku tahunan bagi tempoh kewangan berakhir pada 31 Mac 2006;
  • Laporan suku tahunan bagi tempoh kewangan berakhir pada 30 Jun 2006; dan
  • Laporan suku tahunan bagi tempoh kewangan berakhir pada 30 September 2006.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua Ang Sun Beng dan Ang Soon An dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM150,000 setiap seorang dengan syarat pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada Mahkamah.

Selain itu, SC mengkompaun bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WMCB, Tan Chin Han, sebanyak RM100,000 kerana dengan sengaja membenarkan pemberian kenyataan mengelirukan itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 28 Februari 2007, dan melanggar seksyen 122B SIA. Kenyataan mengelirukan itu adalah berhubung dengan angka hasil dalam laporan suku tahunan WMCB bagi tempoh kewangan berakhir pada 30 September 2006.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup