Anugerah Diraja Kewangan Islam 2014 dianugerahkan kepada Ahli Pengasas Bank Islam pertama Malaysia
2 September 2014   |   Kuala Lumpur
Anugerah Diraja Kewangan Islam (Anugerah Diraja) telah disampaikan kepada Dato' Dr. Abdul Halim Ismail oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah yang diadakan bersempena dengan Forum Kewangan Islam Global 2014 (GIFF 2014).

Diadakan setiap dua tahun, Anugerah Diraja tersebut diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC). Anugerah Diraja tersebut mengiktiraf wawasan kewangan Islam yang memberikan sumbangan penting kepada pertumbuhan ekonomi global dan perkembangan sosial masyarakat di seluruh dunia.

Dr. Abdul Halim, rakyat Malaysia pertama menerima anugerah ini diiktiraf berdasarkan peranan penting beliau dalam mewujudkan struktur organisasi dan prosedur operasi bank Islam pertama di Malaysia pada tahun 1983. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam dan Pengerusi lembaga syarikat Takaful Malaysia, syarikat insurans Islam pertama di negara ini. Pada tahun 1994, Dr. Abdul Halim turut membantu menubuhkan BIMB Securities, syarikat broker saham Islam pertama di Malaysia. Di bawah bimbingannya, kedua-dua industri dan institusi kewangan berkembang, menjadikan kewangan Islam alternatif yang semakin menarik dan melengkapkan kepada kewangan konvensional.

Wawasan dan kepimpinan beliau turut membawa Bank Islam sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berjaya dan mantap dan menegakkan amalan terbaik Syariah. Bank Islam memberikan sokongan, kerjasama dan latihan bagi bank-bank Islam yang kemudiannya ditubuhkan di rantau ini.

Kepakaran Dr Abdul Halim dalam undang-undang Syariah serta perbankan dan kewangan Islam telah membawa kepada pelantikan beliau dalam pelbagai lembaga pengawal selia Syariah, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan; dan institusi kewangan. Seorang ahli akademik yang terlatih, beliau adalah Dekan Fakulti Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1974-1977.

Kelayakan dan pengetahuan luas beliau dalam bidang ekonomi Islam dan perbankan dan kewangan Islam juga telah didokumentasikan secara meluas dalam artikel-artikel yang disiarkan untuk seminar dan persidangan, seperti Mesyuarat ke-7 Bank-bank Pusat dan Pihak Berkuasa Kewangan dan Bank-bank Islam Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) di Malaysia, dan Persidangan Perbankan Islam IBC serta Forum Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu di Dubai.

"Dr Abdul Halim adalah seorang yang mempunyai wawasan dan telah memainkan peranan penting dalam perkembangan industri perbankan Islam di rantau ini, dengan memanfaatkan pengetahuan beliau dalam bidang ekonomi dan kewangan, " kata Tun Musa Hitam, Pengerusi Panel Juri Anugerah Diraja.

Ketika menerima Anugerah Diraja tahun ini, Dr Abdul Halim berkata, "Kewangan Islam adalah amat berkaitan dengan ekonomi sebenar, menawarkan pelaburan beretika dan pilihan pembiayaan untuk perniagaan. Prinsip-prinsip kewangan Islam juga menggalakkan keterangkuman dan kerjasama untuk mewujudkan sistem kewangan adil dan saksama, yang boleh diakses oleh semua. Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Diraja ini dan berharap untuk meneruskan perjalanan saya bagi meningkatkan kesedaran, pemahaman dan penghargaan ke atas kewangan Islam di seluruh dunia."

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.theroyalaward.com

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Bagi pihak inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)



Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup