Anugerah Diraja Kewangan Islam Mempelawa Pencalonan Peringkat Global dan Memperkenalkan Dua Anugerah Baharu

3 Disember 2021

Anugerah Diraja Kewangan Islam
Undangan untuk pencalonan peringkat global bagi Anugerah Diraja Kewangan Islam diumumkan hari ini. Anugerah yang berprestij tersebut mengiktiraf individu cemerlang dan terbilang yang telah memberikan sumbangan besar terhadap kemajuan industri perkhidmatan kewangan Islam. Inisiatif Anugerah Diraja ini merupakan anjuran bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Tujuh juri bebas antarabangsa yang dipengerusikan oleh mantan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam, akan memilih individu yang layak menerima Anugerah Diraja yang ke-enam itu. Salah satu kriteria utama pemilihan Anugerah Diraja tersebut ialah sumbangan berbentuk rintis dan inovatif individu berkenaan terhadap kewangan Islam. Calon berkenaan juga perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang dan mendapat pengiktirafan yang meluas dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.

Sempena Anugerah Diraja tersebut, Jawatankuasa Penganjur dengan sukacitanya mengumumkan penambahan dua anugerah baharu, iaitu Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak.

Anugerah Pemimpin Baharu mengiktiraf dan meraikan bakat muda antarabangsa yang telah memberikan sumbangan penting terhadap kemajuan idea-idea inovatif dalam kewangan Islam. Anugerah ini terbuka kepada individu yang berusia 40 tahun ke bawah, yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya selama lima tahun dalam bidang kewangan Islam yang menjadi kepakaran mereka.

Anugerah Cabaran Berimpak pula bertujuan memberikan pengiktirafan yang lebih besar terhadap penyelesaian digital dan inovatif berdasarkan prinsip kewangan Islam atau penggerak kewangan Islam. Bidang-bidang ini berupaya meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosial masyarakat yang terjejas dari segi kewangan di seluruh dunia. Anugerah Cabaran Berimpak yang diadakan buat julung-julung kali ini dianjurkan dengan kerjasama The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub di Malaysia sebagai rakan teknikal dan disokong oleh Malaysia Digital Economy Corporation.

Maklumat lanjut mengenai semua kategori di atas, termasuk pencalonan peringkat global dan permohonan untuk menyertai Anugerah Cabaran Berimpak boleh didapati dalam talian melalui http://www.theroyalaward.com. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila ajukan kepada [email protected].

Tarikh tutup bagi semua pencalonan dan permohonon untuk menyertai Anugerah Cabaran Berimpak adalah pada 25 Mac 2022.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA & BANK NEGARA MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup