Anwar Rasmi Persidangan Pasaran Modal Islam Antarbangsa

Kuala Lumpur, 9 Jun 1997

Pemangku Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Persidangan Pasaran Modal Islam Antarabangsa '97, yang akan dianjurkan oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti (SC), pada 15-16 Julai 1997, di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Persidangan ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan kefahaman mengenai konsep muamalat terutama di kalangan peserta pasaran seperti ketua eksekutif, pengarah syarikat, ahli perbankan, penyelidik, broker saham, broker niaga hadapan, pengurus dana, pakar Syari'ah, ahli akademik, serta pelabur institusi dan persendirian.

Tema untuk persidangan dua hari ini ialah "Pembangunan Instrumen Pasaran Modal Islam". Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan dengan pelaksanaan konsep fiqh muamalat seperti Dha' Wa Ta'ajjal, Bai' Ul-Ma'dum, Bai' Ul-'Inah, As-Suyulah, 'Uqud Mu`ajjalah dan Al-Ijarah, serta peranannya dalam penstrukturan instrumen pasaran modal Islam. Kajian kes bagi instrumen-instrumen Islam yang telah diterbitkan di Malaysia akan turut dibincangkan. Ini termasuk Kemudahan Penaja Jaminan Pusingan Islam (IRUF), bon tanda aras Islam, pembiayaan Al-Ijarah (Sukuk) dan pembiayaan Bai' Bithaman Ajil dengan nota terbitan (BaIDS ¾ Sekuriti Hutang Islam Bai' Bithaman Ajil).

Ucaptama berkenaan "Peranan Ijtihad di dalam Pembangunan Pasaran Modal Islam", akan dibentangkan oleh cendekiawan Islam ternama, Sheikh Dr. Taha Jaber Al-Alwani, Presiden, International Institute of Islamic Thought, Amerika Syarikat.

Penceramah-penceramah lain terdiri daripada pakar terkenal daripada pelbagai latarbelakang dan pertubuhan termasuk Dr. M. A. Zaki Badawi, Penasihat Syari'ah kepada Islamic Banker dan Pengerusi Muslim Law (Syari'ah) United Kingdom; Dato' Dr. Abdul Halim Ismail, Prof. Dato' Dr. Othman Ishak dan Dr. Mohd. Daud Bakar, Ahli-ahli Majlis Penasihat Syari'ah, Suruhanjaya Sekuriti; Prof. Dr. Mohd. Hashim Kamali dan Dr. Mohd. Azmi Omar daripada Universiti Islam Antarabangsa; Haji Wan Ismail Wan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Syari'ah System Consultants Sdn Bhd; Haji Wan Abdul Rahim Kamil, Pengarah Urusan Abrar Discounts Bhd; Tan Sri Dato' Abdul Rashid Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Khazanah Nasional Bhd; serta Hamdan Mohd. Bintang dan Mohd. Zahid Abdul Aziz, daripada Bank Islam Malaysia Bhd.

Satu diskusi yang bertemakan "Ke Arah Mewujudkan Pasaran Modal Islam yang Praktikal: Isu dan Cabaran" akan mengakhiri persidangan dua hari ini. Ahli-ahli panel terdiri daripada Dato' Abdul Murad Khalid, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia; Tan Sri Abdul Khalid Sahan, Pengerusi Rating Agency of Malaysia; dan Dato' Dr. Abdul Halim Ismail.

Bayaran pendaftaran untuk persidangan ini ialah RM650 bagi setiap peserta (termasuk makan tengahari, minuman dan bahan-bahan cetak).

Borang pendaftaran boleh didapati daripada Puan Rosmawati Abdul Azid, Pusat Perkembangan Industri Sekuriti, Aras 2, Plaza Kelanamas, 19, Lorong Dungun, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi beliau di no. tel. 603-2507590, no. faks 603-2523693 atau e-mail [email protected].

Tarikh tutup pendaftaran ialah 1 Julai 1997.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup