AOB Denda Audit Firma dan Batal Pendaftaran Rakan Audit Kerana Melanggar Keperluan Kebebasan
30 Mei 2019   |   Kuala Lumpur
Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 5 April 2019 telah mengambil tindakan ke atas firma audit UHY dan rakan kongsinya, Loh Chye Teik (Loh) dan Chan Jee Peng (Chan) kerana tidak mematuhi piawaian pengauditan dan etika yang diiktiraf di Malaysia.

UHY dan Loh melanggar keperluan penggiliran rakan audit utama Undang-undang Kecil Institut Akauntan Malaysia (Mengenai Etika, Tatalaku dan Amalan Profesional) untuk audit sebuah entiti kepentingan awam (PIE) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 dan 31 Disember 2017. Ketika kerja audit, seseorang individu tidak boleh menjadi rakan audit utama bagi audit PIE untuk tempoh melebihi lima tahun berturut-turut. Loh bertindak sebagai rakan kongsi tugasan melebihi tempoh masa yang ditetapkan dan UHY gagal untuk mengenal pasti dan menangani dengan sewajarnya pelanggaran tersebut.

AOB memandang serius pelanggaran tersebut kerana kebebasan dan kepatuhan terhadap piawaian etika merupakan keperluan asas bagi seseorang juruaudit.

Sehubungan ini, AOB telah membatalkan pendaftaran Loh dan mendenda UHY sebanyak RM298,000. Di samping itu, selain daripada pelanggan PIE sedia ada, UHY dilarang menerima mana-mana PIE atau kumpulan wang jadual sebagai pelanggan, atau menyediakan laporan berhubung maklumat kewangan yang diperlukan di bawah undang-undang atau garis panduan sekuriti yang dikeluarkan oleh SC, selama 12 bulan bermula 5 April 2019. UHY juga dikehendaki mengemukakan kepada AOB akujanji bahawa ia akan menilai dan melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan sistem kawalan kualiti dikendalikan dengan berkesan untuk memantau dan menangani pematuhannya terhadap keperluan penggiliran rakan kongsi audit.


Secara berasingan, AOB juga mendenda Chan sebanyak RM44,000 kerana gagal melaksanakan prosedur audit yang mencukupi semasa audit satu lagi pelanggan PIE UHY.

LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup