AOB: Jawatankuasa Audit Perlu Pastikan Integriti Pelaporan Kewangan

Kuala Lumpur, 13 Disember 2022

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyeru Jawatankuasa Audit syarikat tersenarai awam (PLC) untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran yang menyokong dan menegakkan kebebasan juruaudit serta kualiti audit yang tinggi bagi memastikan maklumat kewangan yang telah diaudit boleh dipercayai dapat disediakan untuk memudahkan keputusan termaklum oleh pengguna.

Pada siri dialog secara maya baru-baru ini bersama seramai 823 ahli Jawatankuasa Audit daripada 723 PLC, AOB mengingatkan bahawa ahli Jawatankuasa Audit memainkan peranan penting dalam menetapkan nada yang betul untuk proses pelaporan kewangan syarikat dan membolehkan hubungan kerja rapat antara Jawatankuasa Audit dan pihak juruaudit bebas.

Ia seterusnya menekankan bahawa pengawasan berkesan oleh Jawatankuasa Audit yang kukuh, berpengetahuan, dan bebas akan meningkatkan lagi kualiti audit dalam pasaran.

Menyedari perkara ini, AOB telah kerap berhubung dengan Jawatankuasa Audit dalam memastikan mereka maklum dan sentiasa mengikuti maklumat yang berkaitan untuk melaksanakan tanggungjawab pengawasan mereka dengan berkesan.

Siri dialog tahun ini juga menyaksikan AOB berkongsi hasil tinjauannya mengenai 'Pelaporan Ketelusan oleh Firma Audit', yang berdasarkan maklum balas daripada seramai 151 ahli Jawatankuasa Audit.

Diperkenalkan pada Disember 2019, Laporan Ketelusan dikeluarkan oleh firma audit berdaftar tertentu yang memenuhi kriteria pelaporan mandatori seperti yang ditetapkan oleh AOB. Laporan Ketelusan menyediakan maklumat tentang struktur perundangan dan tadbir urus firma, langkah yang diambil oleh firma untuk menegakkan kualiti audit dan mengurus risikonya, serta maklumat tentang pengukuran penunjuk kualiti audit firma.

AOB menyatakan bahawa walaupun 89% daripada responden kaji selidik mengetahui keperluan bagi firma audit untuk menghasilkan Laporan Ketelusan, hanya 68% daripada responden telah membaca Laporan Ketelusan.

AOB menggalakkan ahli Jawatankuasa Audit membaca laporan, memandangkan 94% daripada responden tinjauan yang telah berbuat demikian mendapati maklumat yang didedahkan berguna untuk memudahkan pemilihan dan penilaian yang lebih berkesan ke arah pelantikan (termasuk pelantikan semula) juruaudit luar. Untuk tadbir urus korporat yang baik, keputusan untuk pelantikan atau pelantikan semula juruaudit hendaklah dibuat oleh Jawatankuasa Audit dan bukannya pengurusan.

Siri dialog yang berakhir baru-baru ini, yang diadakan pada 17 November dan 6 Disember 2022, mencerminkan usaha SC untuk menambah baik tadbir urus korporat dalam PLC serta mengukuhkan ekosistem untuk kualiti audit dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang telah diaudit.

Ia juga menyediakan platform untuk Jawatankuasa Audit membangkitkan sebarang isu berkenaan dengan fungsi pengawasan mereka dan berkongsi amalan baik dalam menyokong kualiti audit.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup