AOB Larang Rakan Kongsi Audit Ong & Wong daripada Mengaudit untuk Satu Tahun

Kuala Lumpur, 17 Oktober 2022

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Ong & Wong Chartered Accountants (Ong & Wong) dan tiga rakan kongsinya adalah dilarang daripada menerima dan mengaudit mana-mana entiti berkepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual selama 12 bulan berkuatkuasa 7 September 2022. Rakan kongsi tersebut adalah Ong Koon Liang (Koon Liang), Ong Kong Lai (Kong Lai) and Wong Cham Mew (Cham Mew).

Di samping itu,, AOB juga telah mengenakan denda sebanyak RM227,000 ke atas Ong & Wong, RM35,000 setiap seorang ke atas Koon Liang and Kong Lai dan RM34,000 ke atas Cham Mew.

Berdasarkan penemuan siasatan AOB, Ong & Wong dan tiga rakan kongsinya dikenalpasti gagal mematuhi Piawaian Antarabangsa tentang Pengauditan (ISA) yang berkaitan dan Standard Kawalan Kualiti Antarabangsa (ISQC) 1 semasa mengaudit duapelanggan PIE (PIE 1 dan PIE 2).

Pelanggaran oleh rakan kongsi audit

AOB mendapati banyak kekurangan audit dalam semakan tugasan dua pelanggan PIE yang masing-masing diketuai oleh Koon Liang dan Kong Lai sebagai rakan kongsi tugasan. Kekurangan ini, antara lain, berkaitan dengan kecukupan dan kesesuaian bukti audit yang diperolehi dan kesempurnaan dokumentasi audit untuk menyokong kesimpulan yang dicapai1.

Selain itu, dalam pengauditan PIE 2 di mana anak syarikat beroperasi di negara asing, AOB mendapati terdapat isu berkenaan kebolehpercayaan dokumen dan kawalan pasukan audit ke atas pengesahan perdagangan belum terima di mana permintaan dibuat dan diterima melalui pengurusan PIE 2 yang melanggar ISA yang berkaitan.

Cham Mew, Penyemak Kawalan Kualiti Tugasan (EQCR) bagi kedua-dua PIE, telah gagal untuk menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit terpilih yang berkaitan dengan pertimbangan penting dan bidang risiko tugasan serta asas kesimpulan yang dicapai. Ini menjejaskan keseluruhan kualiti audit seperti yang dibuktikan oleh pelbagai kekurangan audit yang ditemui dalam dua audit yang dijalankan.

Pelanggaran oleh Ong & Wong

Sementara itu, Ong & Wong telah gagal mematuhi keperluan ISQC 1 yang berkaitan. Khususnya, firma itu telah gagal memastikan sistem pemantauan kawalan kualitinya beroperasi dengan berkesan, yang telah mengakibatkan kegagalannya untuk mengesan kekurangan audit yang terdapat dalam pengauditan dua pelanggan PIE.

Selain itu, kekurangan audit yang ditemui dalam audit PIE 2 menimbulkan kebimbangan mengenai pemahaman dan pengetahuan firma audit dalam melaksanakan audit di negara asing dan dalam memenuhi keperluan audit yang berkaitan di negara asing. AOB ingin menekankan bahawa juruaudit mesti arif dan mematuhi undang-undang, peraturan dan keperluan pelaporan bidang kuasa asing semasa melaksanakan audit entiti di luar Malaysia.

AOB juga menekankan peranan penting EQCR dalam menjaga integriti kualiti audit dan proses kawalan.

Sekatan AOB terhadap Ong & Wong dan juruauditnya telah dikenakan selepas proses sewajarnya diberikan kepada mereka, termasuk peluang untuk mereka merayu terhadap keputusan AOB.



1Terutamanya berkaitan bidang hasil, perdagangan belum terima, deposit, jumlah terhutang kepada pengarah, penyatuan kumpulan, harta tanah, loji dan peralatan, tunai dan baki bank dan lain-lain belum terima.

LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup