“Melangkah ke tahun ketiga operasi kami, AOB melihat peningkatan trend terhadap permintaan bagi kualiti audit di pasaran. Oleh itu, amat penting bagi firma audit terus menggunakan pelan pemulihan yang terikat kepada penyebab punca semua kekurangan audit mereka,” kata Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengerusi Eksekutif AOB.
Sebahagian daripada penyebab punca yang diketengahkan oleh AOB termasuklah kekurangan penekanan terhadap kualiti audit oleh pihak peneraju firma audit, ketakcukupan pemahaman mengenai perniagaan pelanggan audit dan risiko yang berkaitan, serta kekurangan skeptisisme profesional dalam menilai bukti audit.
AOB menjalankan pemeriksaan tahunan terhadap amalan audit di negara ini. Pada akhir setiap pemeriksaan, pengawal selia audit itu mengeluarkan laporan pemeriksaan yang menggariskan kekurangan audit yang dikenal pasti semasa pembabitan audit tersebut dan firma audit dikehendaki mengemukakan pelan pemulihan untuk kelulusan AOB. Seterusnya, pemantauan terhadap pelaksanaan pelan itu akan dilakukan.
“AOB menghendaki agar firma audit menjalankan analisis penyebab punca yang lebih jujur dan mantap bagi mewujudkan dan melaksanakan tindakan pemulihan yang mampan dan boleh ukur bagi meningkatkan kualiti audit. Firma perlu juga memastikan agar mekanisme tadbir urus sendiri diguna pakai bagi menambah baik keseluruhan kualiti audit. Pada masa yang sama, jawatankuasa audit perlu lebih terbabit dengan juruaudit bagi memastikan bahawa isu-isu pelaporan kewangan yang penting ditangani secukupnya pada masa audit dilakukan. Kerjasama antara jawatankuasa audit dan juruaudit adalah penting bagi mencapai keberkesanan audit,” tambah Nik.
Melangkah ke hadapan, Nik berkata AOB akan mempergiat pemantauan auditnya terhadap usaha-usaha pembaikan firma audit dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang sesuai sekiranya penambahbaikan penting tidak dilakukan.
Pada tahun 2012, AOB menjalankan 19 pemeriksaan berbanding masing-masing enam dan 17 pada tahun 2010 dan 2011. AOB juga mengambil dua tindakan penguatkuasaan terhadap dua juruaudit kerana gagal mematuhi piawaian pengauditan dan etika dalam melakukan audit mereka. AOB tidak akan teragak-agak bertindak apabila keyakinan awam terhadap kebolehpercayaan laporan audit mereka dikompromikan.
AOB ditubuhkan pada tahun 2010 untuk mengawasi juruaudit entiti kepentingan awam (PIE), melindungi kepentingan pelabur dan menggalakkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehkepercayaan penyata kewangan beraudit PIE.
Sejumlah 67 firma audit dan 293 juruaudit telah mendaftar dengan AOB setakat 31 Disember 2012. AOB juga buat kali pertama telah mengiktiraf 14 juruaudit individu asing dari enam firma audit asing untuk mengaudit tujuh syarikat yang ditubuhkan di luar negara dan tersenarai di Bursa Malaysia.
Salinan elektronik
Laporan Tahunan AOB 2012 boleh didapati di www.sc.com.my.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA