AOB SC Kenakan Sekatan ke atas Firma Audit dan Rakan Kongsinya kerana Kegagalan Patuhi Piawaian Pengauditan dan Kawalan Kualiti Antarabangsa
6 Mac 2019   |   Kuala Lumpur
Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengenakan sekatan ke atas McMillan Woods Mea (AF 001995) dan dua rakan kongsinya, Mea Fatt Leong (Mea) dan Wong Joo Hua (Wong), daripada menerima pelanggan dan mengaudit sebarang entiti kepentingan awam atau kumpulan wang jadual selama 12 bulan, berkuat kuasa 14 Februari 2019.

Di samping itu, Firma dan Mea juga masing-masing didenda sebanyak RM123,000 dan RM44,000.

Tindakan tersebut diambil terhadap Firma dan rakan kongsinya kerana tidak mematuhi Piawaian Antarabangsa mengenai Kawalan Mutu dan Piawaian Pengauditan yang relevan ketika mengaudit penyata kewangan syarikat tersenarai awam bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

AOB mengambil tindakan terhadap Mea atas peranannya sebagai Rakan Pembabitan sementara Wong sebagai Penyemak Pembabitan Kawalan Mutu kepada tugasan audit bagi syarikat awam berdaftar.

AOB mendapati banyak bukti ketidakpatuhan terhadap piawaian pengauditan yang termasuk ketidakpatuhan prosedur audit asas yang mempengaruhi bidang audit utama tertentu. AOB juga mendapati bahawa latihan tidak diberikan kepada kakitangan audit mengenai perubahan terkini terhadap piawaian pengauditan dan program kerja audit yang lama digunakan untuk kerja pengauditan.

Firma tersebut dan Mea telah merayu kepada SC terhadap tempoh sekatan dan jumlah penalti monetari yang dikenakan oleh AOB. SC telah menolak rayuan tersebut dan mengesahkan keputusan AOB.

Pematuhan terhadap piawaian pengauditan ketika mengaudit penyata kewangan entiti kepentingan awam merupakan syarat pendaftaran AOB. Kegagalan untuk mematuhi syarat pendaftaran AOB boleh menyebabkan pelanggaran seksyen 31Z Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993.

LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup