Badan-Badan Sektor ASEAN Keluarkan Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Mampan - Versi 1

10 November 2021

Badan-badan sektor kewangan ASEAN hari ini mencapai satu kejayaan ke arah memenuhi komitmen Perjanjian Paris dengan memperkenalkan istilah bersama di seluruh ASEAN bagi pembiayaan aktiviti ekonomi yang mampan.
Bersempena Sesi ke-26 Persidangan Pihak-Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP26), Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) mengeluarkan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan (Taksonomi ASEAN) – Versi 1. Versi 1 menyediakan rangka perbincangan bersama pihak berkepentingan sektor rasmi dan swasta bekerjasama dalam pembangunan Taksonomi ASEAN. Taksonomi ASEAN berfungsi sebagai rujukan untuk mengarahkan modal dan pembiayaan kepada aktiviti yang boleh membantu menggalakkan transformasi sistemik yang diperlukan oleh rantau ini.

Taksonomi ASEAN merupakan inisiatif kerjasama empat badan sektor ASEAN yang membentuk ATB, iaitu Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), Mesyuarat Pengawal Selia Insurans ASEAN (AIRM), Jawatankuasa Peringkat Kanan Integrasi Kewangan (SLC) ASEAN, dan Jawatankuasa Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Pasaran Modal (WC-CMD). Ini adalah susulan kepada inisiatif kewangan mampan sebelum ini oleh badan sektor ASEAN, seperti Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN, dan Prinsip Perbankan Mampan ASEAN. Taksonomi ASEAN merupakan komitmen kolektif Negara Anggota ASEAN (AMS) dalam peralihan ke arah rantau yang mampan. Ia dirangka sebagai satu sistem klasifikasi yang inklusif dan boleh dipercayai bagi aktiviti-aktiviti mampan dan akan menjadi salah satu asas utama untuk menarik aliran pelaburan dan kewangan ke dalam projek mampan di rantau ini.

Taksonomi ASEAN mengiktiraf aspirasi dan matlamat antarabangsa, dan mengambil kira keperluan unik rantau ini dan oleh itu, ia bermatlamat untuk menjadi inklusif dan bermanfaat kepada semua AMS. Bagi memenuhi kepelbagaian dalam AMS, ATB telah memutuskan pendekatan berbilang peringkat dengan dua elemen utama, Rangka Kerja Asas berdasarkan prinsip yang menyediakan penilaian kualitatif terhadap aktiviti, dan Piawaian Tambahan (Standard Plus) dengan metrik dan had-had untuk meningkatkan kelayakan dan tanda aras aktiviti-aktiviti dan pelaburan hijau.

Versi 1 yang diumumkan hari ini memperjelaskan komponen-komponen utama Taksonomi ASEAN:
  1. Empat objektif alam sekitar dan dua kriteria penting bagi penilaian terhadap aktiviti ekonomi yang bertindak sebagai asas untuk melindungi alam sekitar dan menggalakkan peralihan kepada amalan rendah karbon dan alam sekitar lestari;
  2. Senarai sektor tumpuan yang akan dirangkumi oleh Plus Standard sebagai langkah pertama. Ini termasuk enam sektor yang paling utama berhubung pelepasan GHG dan nilai tambah kasar (pertanian, perhutanan dan perikanan; bekalan elektrik, gas, wap dan hawa dingin; pembuatan; pengangkutan dan penyimpanan; bekalan air, pembetungan dan pengurusan sisa; serta pembinaan dan hartanah), dan tiga sektor pemboleh yang mana produk dan perkhidmatannya menyumbang kepada pencapaian objektif alam sekitar (maklumat dan komunikasi; profesional, saintifik dan teknikal; dan pengawalan, penyimpanan dan penggunaan karbon);
  3. Peringkat pembuatan keputusan secara sektor agnostik untuk membimbing pengguna Taksonomi ASEAN dalam mengklasifikasikan aktiviti ekonomi di bawah Rangka Kerja Asas, dengan cadangan untuk panduan khusus sektor tambahan bagi AMS dan entiti-entiti yang ingin mendapatkan panduan yang lebih khusus; dan
  4. 'Pendekatan tersusun (stacked approach) yang akan digunakan untuk menentukan had dan kriteria penapisan teknikal di bawah Standard Plus, yang akan dibangunkan dalam fasa yang seterusnya.

Objektif alam sekitar dan kriteria penting, serta peringkat pembuatan keputusan secara sektor agnostik yang membentuk Rangka Kerja Asas dirangka agar mudah digunakan oleh semua AMS, serta pihak berkepentingan dalam sektor kewangan dan syarikat-syarikat perniagaan. Bagi AMS dan pihak berkepentingan yang memerlukan lebih panduan, Standard Plus, yang meliputi kritera penyaringan teknikal dan had boleh ukur bagi aktiviti-aktiviti dalam sektor tumpuan terpilih ketika dimuktamadkan, boleh diterima pakai berpandukan kesediaan masing-masing.

Taksonomi ASEAN– Versi 1 boleh didapati melalui laman-laman web berikut:

PENGERUSI
Lembaga Taksonomi ASEAN


Mengenai Lembaga Taksonomi ASEAN

ATB ditubuhkan di bawah naungan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Bank-Bank Pusat ASEAN (AFMGM) dan dipacu bersama oleh Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), Mesyuarat Pengawal Selia Insurans ASEAN (AIRM), Jawatankuasa Peringkat Kanan ASEAN mengenai Integrasi Kewangan (SLC) dan Jawatankuasa Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Pasaran Modal (WC-CMD). Penubuhannya adalah sebagai respons kepada saranan di AFMGM ke-6 untuk berusaha ke arah:
“….melanjutkan agenda kewangan mampan yang padu merangkumi bidang perbankan, pasaran modal dan insurans masing-masing dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN dan AFMGM, dengan penyelarasan yang lebih baik dalam kalangan jawatankuasa kerja ASEAN yang berkaitan.”
Kepentingan taksonomi bersama untuk ASEAN telah dikenal pasti dalam Pelan Hala Tuju ACMF bagi Pasaran Modal Mampan ASEAN, Laporan SLC mengenai Peranan Bank-Bank Pusat ASEAN dalam Menguruskan Risiko Berkaitan Iklim dan Alam Sekitar serta Laporan WC-CMD tentang Menggalakkan Kewangan Mampan di ASEAN .

Lembaga tersebut kini terdiri daripada perwakilan dari 10 Negara Anggota ASEAN, seperti berikut:
  • Pengerusi: Brunei Darussalam Central Bank, Puan Noorrafidah Sulaiman, Timbalan Pengarah Urusan (Operasi Monetari, Pembangunan dan Antarabangsa)
  • Naib Pengerusi: Monetary Authority of Singapore, En. Daniel Wang, Pengarah Eksekutif (Insurans)
  • Non-Bank Financial Services Authority (NBFSA) of Cambodia, En. Mey Vann, Setiausaha Kementerian Ekonomi dan Kewangan, dan Ketua Setiausaha, Sekretariat Am NBFSA
  • Financial Services Authority of Indonesia, En. Greatman Rajab, Penganalisis Eksekutif Kanan
  • Bank of Lao PDR, Puan Fongchinda Sengsourivong, Ketua Pengarah (Kerjasama Antarabangsa)
  • Bank Negara Malaysia, Encik Fraziali Ismail, Penolong Gabenor
  • Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif
  • Kementerian Perancangan dan Kewangan Myanmar, En. Zaw Naing, Ketua Pengarah (Pengawalseliaan Kewangan)
  • Philippines Insurance Commission, En. Dennis Funa, Ahli Suruhanjaya
  • Monetary Authority of Singapore, Cik Gillian Tan, Penolong Pengarah Urusan (Pembangunan & Antarabangsa)
  • Bank of Thailand, Puan Roong Mallikamas, Penolong Gabenor
  • State Securities Commission of Viet Nam, En. Vu Chi Dzung, Ketua Pengarah (Kerjasama Antarabangsa)

ATB dipantau oleh AFMGM bersama Sustainable Finance Institute Asia (SFIA) yang menyediakan sokongan pentadbiran sebagai tuan rumah kepada ATB.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

En. Khairul Ridzwan
Lembaga Taksonomi ASEAN
(Kumpulan Kerja mengenai Komunikasi dan Penyumberan Pasaran)
E-mel: [email protected]
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup