Badan Pengawal Selia Pasaran Modal Global tubuh Hab Asia Pasifik di Kuala Lumpur
23 Februari 2016|   Kuala Lumpur

Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO), badan global dunia bagi pengawal selia pasaran modal telah meluluskan penubuhan pejabat serantaunya yang pertama di Kuala Lumpur. 

Keanggotaan IOSCO mengawal selia lebih dari 95% pasaran modal dunia yang bernilai hampir US$140 trilion, dalam lebih 115 bidang kuasa.

Penubuhan Hab Serantau IOSCO bagi Asia Pasifik merupakan kali pertama pejabat organisasi kawal selia antarabangsa tersebut diwujudkan di luar ibupejabatnya di Madrid, Sepanyol.

Pengumuman itu dibuat pada 22 Februari selepas mesyuarat Lembaga IOSCO minggu lalu.

Hab Serantau Asia Pasifik akan memainkan peranan utama bagi inisiatif IOSCO yang berkaitan dengan pembinaan keupayaan kawal selia di rantau Asia Pasifik, yang merangkumi pasaran maju dan pesat membangun. Hab juga akan memudahcarakan kerjasama kawal selia rentas sempadan dan menyumbang kepada pembangunan pasaran modal di rantau ini melalui inisiatifnya. Ia juga dijangka menarik pakar-pakar pasaran dan kawal selia terkemuka yang akan ditempatkan di Kuala Lumpur.

Dato 'Seri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang juga Naib Pengerusi Lembaga IOSCO dan Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Pertumbuhan dan Pesat Membangun IOSCO, menyambut baik keputusan yang dibuat semasa mesyuarat Lembaga IOSCO.

"Keputusan IOSCO ini merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah organisasi tersebut dalam menubuhkan lokasi serantaunya yang pertama. SC Malaysia gembira bahawa Lembaga IOSCO telah memilih Malaysia sebagai lokasi Hab Asia-Pasifiknya. Pasaran modal global kini telah menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan pembiayaan, dan rantau Asia Pasifik mempunyai beberapa ekonomi dan pasaran modal yang paling penting di dunia. Pemilihan Malaysia jelas menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha Malaysia ke arah membangunkan pasaran modal berkualiti tinggi dan dikawal selia dengan baik dan peranan negara di rantau ini”, kata Dato' Seri Ranjit Ajit Singh.

Pengerusi Lembaga IOSCO, Greg Medcraft berkata "Hab Serantau di Kuala Lumpur akan membawa IOSCO ke tahap yang baru dan akan memainkan peranan penting dalam membangunkan dan mengembangkan pasaran modal serantau. Tahniah kepada SC Malaysia kerana menjadi Hab Serantau yang pertama dan berjaya memenuhi kriteria yang berkaitan."

Hab Serantau di Kuala Lumpur dijangka beroperasi pada 2016.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup