Beberapa Langkah Lagi untuk Pertingkat Status Utama Pasaran Modal Diperkenal; Kelonggaran bagi Syarikat Tersenarai Bermasalah Tidak Lagi Diberikan

Kuala Lumpur, 27 Disember 2004

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan beberapa langkah memperkemas Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti (Garis Panduan Terbitan). Langkah ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2005, dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperbaiki kualiti aset dan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).

Sebagai sebahagian daripada usaha pengemasan ini, keperluan bagi penyuntikan aset ke dalam syarikat tersenarai akan juga terpakai secara serata bagi suntikan aset ke dalam syarikat tersenarai bermasalah (" Distressed Listed Companies" - DLC). Kelonggaran yang diberikan sebelum ini, yang telah berjaya mencapai tujuannya dalam membantu pembaikpulihan DLC, tidak lagi diguna pakai.

Kemasukan keperluan bagi syarikat perkhidmatan kewangan, perkapalan/ pengangkutan, dagangan/peruncitan, syarikat induk pelaburan hartanah dan projek infrastruktur, sama ada melalui penyenaraian langsung atau penyenaraian pintu belakang/pengambilalihan berbalik akan mengguna pakai standard yang sama.

Di samping itu, SC juga meliberalisasikan keperluannya yang berkaitan dengan pemerolehan aset asing oleh syarikat Malaysia.

Kelonggaran yang diberikan kepada DLC yang telah berjaya dalam membantu pembaikpulihan

Pada bulan September 2001, SC telah memperkenalkan beberapa kelonggaran kepada DLC untuk membantu proses pembaikpulihan syarikat tersebut. Memandangkan kelonggaran tersebut telah berjaya mencapai tujuannya dalam membantu pembaikpulihan syarikat tersebut, sudah tiba masanya kelonggaran ini digugurkan bagi membolehkan kesamarataan keperluan bagi penyuntikan aset ke dalam syarikat tersenarai.

Pasaran telah menyaksikan pembaikan yang ketara dalam DLC tersebut, khususnya berkaitan dengan syarikat yang mempunyai tahap keadaan kewangan yang tidak memuaskan, yang dikelaskan di bawah Nota Amalan 4 (PN4) Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia. Sejak PN4 diperkenalkan pada bulan Januari 2001, 128 syarikat telah dikelaskan di bawah nota amalan tersebut setakat 16 Disember 2004, yang mana terdapat 73 syarikat telah membaik pulih keadaan kewangan mereka dan 28 lagi sama ada telah mengumumkan pelan penyusunan semula mereka, mengemukakan pelan tersebut untuk kelulusan pihak berkuasa atau dalam proses pelaksanaan.

Oleh yang demikian, bagi penyuntikan aset sebagai sebahagian daripada skim penyusunan semula, DLC tidak lagi boleh bergantung kepada keperluan rekod keuntungan lepas yang kurang ketat bagi aset sedemikian. Sebaliknya, keperluan rekod keuntungan lepas biasa yang terpakai kepada PLC "sihat", seperti yang terkandung dalam Bab 12 Garis Panduan Terbitan, kini diguna pakai. Aset yang disuntik yang memenuhi keperluan rekod keuntungan yang lebih tinggi ini akan mampu mempertingkatkan lagi kedudukan kewangan syarikat.

Di samping itu, keperluan bagi audit siasatan bagi kes-kes penyenaraian semula akan digugurkan. Usaha penguatkuasaan dan pengawasan SC akan diteruskan dalam menentukan sama ada tindakan oleh pengarah atau pengurusan syarikat membawa kepada kegagalan korporat menunjukkan pelanggaran undang-undang sekuriti atau menjejaskan kepentingan pemegang saham dan pelabur.

Keperluan penyenaraian bagi syarikat tertentu diperkemas

Keperluan bagi penyenaraian pintu belakang/pengambilalihan berbalik syarikat perkhidmatan kewangan, perkapalan/pengangkutan, dagangan/peruncitan, syarikat induk pelaburan hartanah dan projek infrastruktur ke dalam syarikat tersenarai dipinda bagi memastikan bahawa syarikat sedemikian memenuhi keperluan rekod keuntungan bagi Papan Utama, sama seperti keperluan sedia ada bagi penyenaraian langsung syarikat tersebut.

Keperluan bagi penyenaraian langsung syarikat pelaburan hartanah telah diperkenalkan, dan peraturan sedia ada bagi penyuntikan aset pelaburan hartanah ke dalam syarikat tersenarai (yang menyebabkan perubahan ketara dalam hala tuju perniagaan) akan diperkemas dengan keperluan yang lebih ketat diguna pakai bagi penyenaraian langsung aset sedemikian.

Oleh itu, keperluan bagi penyenaraian syarikat sedemikian akan dijadikan konsisten, sama ada penyenaraian itu dilaksanakan secara langsung atau melalui penyenaraian pintu belakang/pengambilalihan berbalik.

Pemerolehan aset asing dimudahcarakan lagi

Untuk memudahcarakan syarikat untuk memperkembang operasi mereka di luar negara, syarikat awam yang ingin memperoleh aset asing yang besar (selain daripada melalui tunai) tidak lagi dikehendaki membiayai keseluruhan pemerolehan tersebut melalui penerbitan sekuriti.

Syarikat tersebut mesti menunjukkan bahawa mereka akan memperoleh aset asing berkualiti yang memberikan manfaat kepada mereka dan bagi Malaysia, dan mereka telah mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu.

Pemerolehan aset asing yang besar oleh syarikat tersenarai yang menyebabkan perubahan ketara dalam hala tuju perniagaan akan ditadbir oleh keperluan sedia ada bagi penyenaraian pintu belakang/pengambilalihan berbalik di bawah Bab 12 Garis Panduan Terbitan. Bagi suntikan semua aset asing yang menyebabkan perubahan kepada pemegang saham dominan, pemegang saham dominan yang baru mestilah warga negara Malaysia.

Nota Panduan (Guidance Notes)

Satu set Nota Panduan kepada Garis Panduan Terbitan telah dikeluarkan untuk melengkapkan langkah-langkah tersebut di atas. Nota Panduan 2, 6C, 7C, 11, 12B, 13A dan 15A akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2005, dan boleh didapati di tapak web SC di sini. Keperluan baru tersebut tidak akan diguna pakai kepada cadangan yang telah dikemukakan kepada SC atau telah diumumkan kepada Bursa Malaysia sebelum tarikh ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup