24 Jun 2022 | Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap bekas ahli perbankan pelaburan, Charles Chua Yi Fuan, kerana menipu tujuh pelabur yang mengalami kerugian hampir RM1.67 juta pada Julai 2017 hingga Mei 2019.
Charles, bekas Naib Presiden Pasaran Hutang di Hong Leong Investment Bank Bhd, memaklumkan kepada mangsa bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan yang melibatkan langganan sekuriti, walhal skim tersebut tidak wujud.
Charles dibawa ke dua mahkamah berasingan di Melaka untuk untuk menghadapi 13 pertuduhan di bawah subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Hukuman jika sabit kesalahan di bawah subseksyen ini ialah hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta bagi setiap pertuduhan.
Charles mohon dibicarakan bagi semua pertuduhan terhadapnya. Hakim Mahkamah Sesyen Nariman Badruddin membenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua orang penjamin. Di mahkamah yang lain, hakim Mahkamah Sesyen Maziah Joary Mohd Tajudin membenarkan ikat jamin sebanyak RM280,000 juga dengan dua orang penjamin. Selain itu, kedua-dua mahkamah memerintahkan tertuduh untuk melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC pada setiap bulan.
Sebelum ini, Charles telah dikenakan sebanyak empat pertuduhan pada 16 Jun 2022 di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kesalahan yang sama, dan dia telah mohon dibicarakan
SC terus mengingatkan pelabur agar berhati-hati sebelum melabur wang mereka dan apabila mempertimbangkan peluang pelaburan. Pelabur dinasihatkan untuk merujuk Senarai Peringatan Pelabur SC untuk menyemak senarai platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan/tidak berlesen. Pelabur boleh menghubungi Pejabat Pengguna & Pelabur SC di talian: 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected]my untuk pertanyaan lanjut.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA