Bekas Pengarah Eksekutif Axis dipenjara kerana kemuka kenyataan palsu
10 Julai 2017   |   Kuala Lumpur
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menyabitkan kesalahan dan memenjarakan dua bekas pengarah eksekutif Axis Incorporation Bhd (Axis) kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Lee Han Boon dan Saipuddin Lim Abdullah mengaku bersalah kerana mengemukakan maklumat palsu kepada bursa saham berhubung pendapatan Axis sebanyak RM91.13 juta. Daripada jumlah itu, RM51.5 juta adalah palsu yang dikemukakan bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Mac 2008.

Lee dan Saipuddin masing-masing menghadapi empat lagi pertuduhan atas kesalahan yang sama berhubung dengan penyata pendapatan Axis yang digabungkan untuk semua empat suku tahun bagi tahun kewangan berakhir 2007. Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad mengambil kira perkara ini ketika menjatuhi hukuman terhadap Lee dan Saipuddin.

Lee, 36, bekas pemegang saham utama dan pengarah eksekutif Axis, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan dan didenda sebanyak RM200,000. Manakala Saipuddin, 58, juga bekas pemegang saham utama dan pengarah eksekutif Axis dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan.

Perbicaraan terhadap Lee dan Saipuddin bermula pada 2015. Perbicaraan akan diteruskan terhadap dua individu lagi, Koh Tee Jin dan Lee Koon Huat yang dituduh dan dibicarakan bersama Lee dan Saipuddin atas kesalahan yang sama.

Hukuman tersebut telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen susulan permohonan rundingan bagi pengakuan bersalah oleh Lee dan Saifudin, di bawah seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah yang baru diperkenalkan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup