Mok Chin Fan (Mok), Cheong Kok Yai (Cheong) dan Normah binti Sapar (Normah) mengaku bersalah terhadap tuduhan memberi kenyataan palsu kepada bursa saham tersebut dalam laporan suku tahun keempat INIX dalam tahun 2006. Mereka juga mengaku salah terhadap tuduhan menerbitkan prospektus INIX yang mengandungi maklumat palsu berkaitan dengan hasil INIX, bagi tempoh kewangan enam bulan berakhir pada 31 Januari 2005.
Mok, 53, pemegang besar saham dan bekas pengarah INIX, didenda RM125,000 (atau satu tahun penjara) bagi kesalahan di bawah seksyen 55 Akta Suruhanjaya Sekuriti (SCA) dan denda RM50,000 (atau enam bulan penjara) setiap satu bagi empat kesalahan di bawah Seksyen 122B Akta Perindustrian Sekuriti (SIA).
Cheong, 51, yang merupakan pengarah eksekutif dan Ketua Pegawai Teknikal INIX, didenda RM125,000 (atau satu tahun penjara) bagi kesalahan bawah Seksyen 55 SCA dan RM50,000 (atau enam bulan penjara) setiap satu bagi empat kesalahan bawah Seksyen 122B SIA.
Normah, 37, yang merupakan Eksekutif Akaun INIX, mengaku salah bersubahat dengan Jimmy Tok Soon Guan (Jimmy), bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah eksekutif INIX bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 122B SIA dan Seksyen 55 SCA. Normah didenda RM150,000 (atau satu tahun penjara) bagi kesalahan bawah Seksyen 55 SCA dan RM50,000 (atau enam bulan penjara) setiap satu bagi empat kesalahan bawah Seksyen 122B SIA.
Jimmy turut dituduh bersama Mok, Cheong dan Normah, bagi kesalahan-kesalahan tersebut dan minta dibicarakan. Tarikh perbicaraan bagi Jimmy Tok telah ditetapkan pada 3 Oktober 2011.