Kuala Lumpur, 14 November 2022
Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini telah mensabitkan Uzir bin Abd Samad, seorang bekas pengarah UAS Bistari Management Sdn Bhd, dengan tiga kesalahan berkaitan dengan aktiviti pengurusan dana tidak berlesen serta pengemukaan secara salah sebagai pemilik lesen.
Uzir, 50, hari ini mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (“CMSA”) bagi kesalahan mengemukakan dirinya sebagai pengurus dana yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kepada pelabur.
Tertuduh juga mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan lagi di bawah seksyen 362(3) CMSA bagi kesalahan menggunakan gelaran secara salah iaitu mengemukakan dirinya sebagai “Pengurus Dana” dan “pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti (CMSRL)” di dalam dokumen kepada pelabur.
Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Fatimah Zahari telah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun kepada Uzir bagi setiap satu pertuduhan tersebut dan memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara berjalan secara serentak. Uzir akan menjalani hukuman penjara mulai hari ini memandangkan beliau sebelum ini dibenarkan jaminan oleh mahkamah semasa perbicaraan kes.
Seseorang yang disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 58(1) CMSA boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi seksyen 362(3) CMSA pula, seseorang yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Uzir telah dituduh pada 24 Mac 2021 selepas ditahan di kediamannya di Selangor. Tertuduh sebelum itu telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh SC sejak tahun 2016 selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Perbicaraan terhadap Uzir dijalankan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada bulan Jun dan September tahun ini. Enam saksi pendakwaan, termasuk lima mangsa yang mengalami kerugian berjumlah RM5.17 juta, telahpun selesai memberi keterangan di mahkamah.
Pengurusan dana merupakan aktiviti terkawal dan mana-mana individu yang menjalankan atau menyatakan dirinya sebagai menjalankan perniagaan pengurusan dana memerlukan lesen daripada SC di bawah CMSA. SC menasihatkan pelabur supaya berwaspada dan sentiasa berhati-hati dalam menilai dan memutuskan peluang dan tindakan pelaburan.
Pelabur hendaklah hanya berurusan dengan individu dan entiti yang dilesenkan oleh SC untuk menyediakan aktiviti terkawal seperti pengurusan dana. Mereka juga harus menyemak Senarai Makluman Pelabur SC, yang sentiasa dikemas kini bagi memberi amaran kepada pelabur tentang syarikat atau individu yang mencurigakan yang mungkin menjalankan aktiviti terkawal tanpa lesen atau penipuan.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA