Bekas Pengerusi Eksekutif Repco Low Thiam Hock Didapati Bersalah Kerana Manipulasi Pasaran
11 Januari 2016|   Kuala Lumpur
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendapati Low Thiam Hock, yang juga dikenali sebagai Repco Low (Low) bersalah kerana manipulasi pasaran dalam dagangan saham Repco Holdings Bhd (Repco). Low merupakan bekas Pengerusi Eksekutif Repco.

Dalam menyabitkan kesalahan Low, Hakim Mat Ghani Abdullah mendapati Low telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Kes Pendakwaan, dan pembelaan dirinya adalah semata-mata penafian dan selepas difikirkan semula.

Low, 53, didapati bersalah atas tindakannya yang mewujudkan gambaran yang mengelirukan berkenaan dengan harga saham Repco di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 3 Disember 1997, satu kesalahan di bawah seksyen 84 (1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA). Di bawah seksyen 91 SIA, Low boleh dihukum denda minimum RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.
Low dituduh oleh SC di Mahkamah Sesyen pada 18 September 1999. Pada akhir kes pendakwaan yang mana 25 saksi telah dipanggil, Mahkamah Sesyen melepaskan Low kerana pertuduhan itu tidak dibuktikan. SC kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi yang mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen. Mahkamah Rayuan bagaimanapun, pada 28 Februari 2013 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Low untuk membela diri atas pertuduhan terhadapnya, dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Sesyen.

Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan bahawa mahkamah berpuas hati bahawa cara Low membeli 227,000 unit saham Repco pada 3 Disember 1997, sebenarnya telah mewujudkan gambaran yang mengelirukan mengenai harganya di bursa saham.

Penghukuman telah ditetapkan pada 19 Januari 2016. Sementara itu, Low dikehendaki menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup