Bekas pengurus dana didenda RM1 juta kerana membuat penzahiran yang mengelirukan kepada SC
16 Disember 2013   |   Kuala Lumpur

Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu (13 Disember 2013) mendapati bahawa Mohamed Bin Abdul Wahab, bekas pengurus dana berlesen dan pengarah eksekutif Metrowangsa Asset Management Sdn. Bhd. (Metrowangsa), bersalah kerana membenarkan pemberian kenyataan yang mengelirukan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam laporan separuh tahun Metrowangsa dari tahun 2000 hingga 2001.

Kesalahan di bawah seksyen 122B(b)(cc) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) itu adalah berkaitan dengan kenyataan mengelirukan yang diberikan kepada SC berhubung dengan jumlah dana yang diuruskan oleh Metrowangsa pada tahun 2000 dan 2001. Pada masa tersebut, Metrowangsa, dalam laporan yang diberikannya kepada SC, telah tidak memasukkan laporan mengenai dana yang diterima daripada dua pelanggannya iaitu Lembaga Tabung Haji dan Mimos Berhad, sejumlah RM134,298,279 bagi tahun 2000 dan RM231,020,000 bagi tahun 2001.

Mohamed telah didakwa pada tahun 2003 dengan dua kesalahan di bawah seksyen 122B(b)(cc) kerana membenarkan kenyataan yang mengelirukan diberikan kepada SC, dan satu kesalahan lagi di bawah seksyen 47C(5) SIA kerana bersubahat dengan Metrowangsa dalam menggunakan RM50 juta wang Lembaga Tabung Haji untuk membayar pelanggan-pelanggannya yang lain.

Bagi dakwaan di bawah seksyen 47C, dia disabit kesalahan oleh Mahkamah Sesyen pada 1 April 2009, bersama-sama dengan Dr Ghazali Atan, yang pada masa itu ialah Pengarah Urusan Metrowangsa, dan diperintahkan membayar denda sebanyak RM200,000 (atau satu tahun penjara). Bagaimanapun, dia dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen dan kemudiannya oleh Mahkamah Tinggi, atas tuduhan di bawah seksyen 122B.

Dalam membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Mohamed, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman denda RM500,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah denda sebanyak RM1 juta. Sekiranya gagal membayar denda, dia akan dikenakan satu tahun penjara.

Hakim Dato’ Abdul Aziz Bin Abdul Rahim, dalam menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan itu, menyatakan bahawa pengurus dana tidak boleh mengguna pakai pendekatan mudah apabila membuat laporan kepada SC mengenai dana di bawah pengurusannya. Mahkamah Rayuan menolak pembelaan bahawa Metrowangsa tidak mengisytiharkan jumlah penuh kepada SC kerana ia telah memindahkan sebahagian daripada dana di bawah pengurusannya kepada pihak ketiga, iaitu Asasi Trade and Marketing Sdn Bhd yang diuruskan oleh individu bernama Ahmad bin Hassan. Ini, tegas beliau, tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan perjanjian di antara Metrowangsa dan pelanggan-pelanggannya. Ujarnya lagi, kegagalan untuk menimbangkan isu tersebut menyebabkan pihak Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tersilap membuat keputusan pembebasan tersebut.

Dalam permohonan untuk hukuman berat, Timbalan Pendakwa raya, Ahmad Fairuz Zainol Abidin menegaskan bahawa pengurus dana yang merupakan penjaga dana pelanggan mestilah bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan di atas semua jumlah wang yang dikumpulkan mereka. Beliau juga berhujah bahawa kegagalan pengurus dana untuk menjalankan tugas secara profesional, dan menjaga kepentingan pelanggan merupakan pelanggaran amanah dan keyakinan yang diletakkan kepada mereka dan akan membawa kepada kejatuhan industri pengurusan dana. Industri ini, katanya lagi, membentuk bahagian penting pasaran modal yang sihat dan cergas. 

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup