Bengkel Derivatif untuk Pengurusan Kanan

Kuala Lumpur, 4 Jun 1997

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) bagi Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan menganjurkan bengkel tiga hari bertajuk Derivatif untuk Pengurusan Kanan dari 7 hingga 9 Julai 1997, di Pan Pacific Glenmarie Resort, Kuala Lumpur.

Derivatif merupakan instrumen penting yang mengawal risiko kewangan yang disebabkan oleh pertambahan risiko dalam pasaran kewangan akibat kenaikan inflasi, peningkatan ketidaktentuan dalam kadar faedah serta pengapungan kadar tukaran.

Kejayaan bengkel yang serupa pada dua tahun berturut-turut telah mendorong SC untuk sekali lagi menjemput dua orang pakar derivatif iaitu Profesor Donald Lessard dan Profesor Nalin Kulatilaka untuk mengendalikan bengkel tersebut.

Profesor Lessard, daripada Jabatan Pengurusan Antarabangsa, Institut Teknologi Massachusetts (MIT), berpengalaman dalam strategi korporat dan kewangan antarabangsa, persaingan antarabangsa dalam perkhidmatan kewangan, dan pengstrukturan semula sistem kewangan dan industri negara kurang maju serta negara dalam tahap peralihan daripada sistem sosialis.

Profesor Kulatilaka, daripada Jabatan Kewangan dan Ekonomi, Sekolah Pengurusan Universiti Boston, mengajar kursus pengurusan kewangan antarabangsa, opsyen dan niaga hadapan, ekonometrik dan pengurusan kewangan di tahap pra-siswazah dan MBA. Beliau juga mengendalikan seminar di peringkat doktorat berkaitan penentuan harga aset derivatif dan kewangan korporat, program eksekutif untuk pasaran modal antarabangsa, penentuan harga untuk derivatif sekuriti dan pengurusan risiko.

Bengkel ini akan meliputi syarahan, kajian kes dan perbincangan yang bertujuan membantu peserta memahami konsep serta mempelajari aspek praktikal pengurusan risiko. Topik-topik yang akan dibincangkan termasuklah:

  • Evolusi Pengurusan Risiko
  • Tinjauan Proses Pengurusan Risiko
  • Mekanisme untuk Memahami Derivatif
  • Mengukur Pendedahan Syarikat kepada Risiko Kewangan
  • Risiko Pelaburan Antarabangsa
  • Kesan-kesan Pempelbagaian dan Portfolio
  • Salahfaham dan Penyalahgunaan Derivatif.

Bengkel ini sesuai untuk semua pengarah dan pihak pengurusan kanan institusi-institusi kewangan, syarikat-syarikat broker niaga hadapan, syarikat-syarikat pengurus dana, syarikat-syarikat broker saham, serta pakar runding dan penasihat kewangan.

Bayaran pendaftaran untuk bengkel ini ialah RM2,900 bagi setiap peserta (termasuk makan tengahari, minuman dan bahan-bahan cetak).

Borang pendaftaran boleh didapati daripada Cik Sharizan, Pusat Perkembangan Industri Sekuriti, Aras 2, Plaza Kelanamas, 19, Lorong Dungun, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi 603-2507598 atau faks kepada 603-2523693 atau emel [email protected]. Tarikh tutup pendaftaran ialah 27 Jun 1997.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup