Berhati-hati terhadap Penyamar - Mangsa Dagangan Mata Wang Asing Lani menjadi Sasaran

Kuala Lumpur, 20 Februari 2004

Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai SC untuk mendapatkan wang daripada orang ramai. Mangsa-mangsa yang telah tertipu oleh syarikat dagangan mata wang asing lani dipercayai menjadi sasaran penyamar tersebut yang menjanjikan bayaran balik wang yang telah dilesapkan oleh dagangan haram berkenaan.

Pihak SC tidak memberikan kuasa kepada mana-mana pegawainya untuk mengutip wang. Orang ramai haruslah menghubungi pihak Polis atau SC dengan segera sekiranya mereka didatangi oleh penyamar tersebut. Jabatan Pengaduan SC boleh dihubungi di talian: 03-6204 8999 atau e-mel [email protected].

SC telah dimaklumkan mengenai penyamaran ini oleh seorang individu yang menyatakan bahawa beliau telah didatangi oleh seorang lelaki bernama Encik Zainal yang mendakwa dirinya sebagai pegawai SC. Encik Zainal memberitahunya bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan membayar balik kerugian yang telah dialami dalam dagangan mata wang asing, dengan syarat beliau terlebih dahulu memasukkan wang ke dalam satu bank akaun, sebelum pembayaran balik boleh dibuat kepada beliau. Beliau diberitahu bahawa akaun bank berkenaan ialah milik seorang bernama Maimunah, yang dinyatakan oleh Encik Zainal sebagai seorang juruaudit SC.

Dikhuatiri penyamaran sedemikian ialah skim penipuan lanjutan daripada aktiviti haram komoditi lani/dagangan indeks yang bertujuan untuk menipu lebih banyak wang daripada mangsa-mangsa yang telah kehilangan ribuan ringgit dalam penipuan dagangan tersebut.

SC menggesa semua mangsa mengemukakan laporan kepada Jabatan Pengaduan SC sekiranya mereka didatangi oleh permintaan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali.

Bilangan mangsa dagangan mata wang/komoditi lani telah berkurangan, pengendali dagangan niaga hadapan haram telah didakwa

SC telah menjalankan kempen besar-besaran selama dua tahun, mulai tahun 2002-2003, untuk mendidik orang ramai mengenai pelaburan dalam dagangan niaga hadapan haram yang menjanjikan pulangan besar. Kempen tersebut telah membuahkan hasil yang mana bilangan aduan yang diterima telah berkurangan sebanyak 71.2%, daripada sebanyak 236 aduan pada 2002 kepada 68 aduan pada 2003.

SC telah mengenakan pertuduhan terhadap 11 individu dan sebuah syarikat kerana mengendalikan pasaran niaga hadapan haram, yang mana lima individu telah mengaku bersalah terhadap kesalahan tersebut dan telah dikenakan hukuman denda antara RM100,000 hingga RM500,000 setiap satu. Kes-kes yang membabitkan enam lagi individu dan syarikat tersebut masih menunggu perbicaraan.

SC menggesa orang ramai agar berhati-hati apabila melabur dengan syarikat pelaburan tempatan dan luar negara. Terdapat ramai pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap kepercayaan orang ramai dan memperdaya mereka ke dalam aktiviti pelaburan pulangan tinggi yang tidak mempunyai risiko.

SC mengingatkan para pelabur bahawa peluang “cepat kaya” yang dilaungkan oleh penipu-penipu ini bertukar menjadi skim “cepat miskin”.

Orang ramai harus ingat bahawa semua jenis pelaburan adalah dikawal selia oleh agensi Kerajaan seperti SC. Mereka harus menyemak dengan pihak SC atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai status pelesenan syarikat tempatan dan luar negara yang mereka gunakan untuk membuat pelaburan.

Para pelabur juga boleh melayari tapak web SC www.sc.com.my atau tapak web Pendidikan Pelabur di www.min.com.my untuk mendapatkan maklumat mengenai pelaburan bijak.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup