Bulan Literasi Kewangan Oktober 2021

15 Oktober 2021


Bulan Literasi Kewangan 2021 (FLM2021) anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dilancarkan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz pada hari ini. FLM2021 disasarkan kepada pelbagai lapisan rakyat Malaysia dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran kewangan, menyediakan pendidikan dan nasihat kewangan, di samping memelihara kesejahteraan kewangan mereka.
FLM2021 yang bertemakan “Tentukan Hala Tuju Kewangan Anda, Jaga Diri dan Bertindak dengan Bijak” berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober. Antara program yang disediakan termasuk sesi webinar, peraduan, ruangan maklumat maya untuk kanak-kanak, pelajar, belia, orang dewasa, golongan pesara serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Para pengunjung juga berpeluang bertemu dengan bank dan perancang kewangan berlesen mereka secara maya bagi membincangkan perihal kewangan, termasuk cara untuk mencapai matlamat kewangan, menguruskan hutang dan melindungi kewangan demi masa hadapan mereka.

“Kesan COVID-19 menunjukkan kepentingan celik kewangan sebagai salah satu kemahiran hidup yang utama untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan mempersiapkan mereka menghadapi situasi yang tidak dijangka. Oleh yang demikian, usaha memberikan keyakinan kepada masyarakat Malaysia supaya mereka dapat membuat keputusan kewangan yang baik adalah sangat penting. Keyakinan ini dapat membantu mereka menentukan hala tuju kewangan pada masa yang mencabar ini”, kata Gabenor Datuk Nor Shamsiah.

Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berkata, “Pengurusan kewangan dan pelaburan yang utuh menjadi semakin penting pada masa ini, terutamanya apabila kita mengambil pelajaran daripada pandemik yang melanda. FLM2021 memenuhi keperluan individu untuk lebih peka dan berupaya mengurus wang mereka dengan bijak, merancang lebih awal dan melabur untuk masa depan mereka. Sesungguhnya, usaha mencapai kesejahteraan kewangan bermula dengan kesedaran untuk membuat keputusan yang tepat dan berhemat.”

FLM2021 akan diakhiri dengan acara kemuncak literasi kewangan selama tiga hari secara maya (dari 29 hingga 31 Oktober 2021). Tarikan utama acara kemuncak ini termasuk:

  • “Klinik Khidmat Nasihat Kewangan Secara Maya” - “TEMUI BANK ANDA” - acara ini mengumpulkan 22 bank di bawah satu platform maya yang memberikan peluang kepada rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang sedang menghadapi masalah kewangan, untuk mengadakan pertemuan maya secara bersemuka dengan bank mereka bagi membincangkan pilihan bantuan bayaran balik pinjaman serta mendapatkan khidmat nasihat kewangan dalam persekitaran yang selamat dan terjamin;
  • Pameran Secara Maya oleh ahli FEN serta rakan strategiknya – orang ramai boleh mengakses maklumat dan berbual dengan staf yang sedia memberikan bantuan khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan, e-pembayaran, insurans dan takaful, pelaburan, penipuan kewangan serta perancangan persaraan. Melalui pameran ini pengunjung juga boleh bertemu dengan agensi kerajaan dan pihak swasta bagi meningkatkan kemahiran, mendapatkan latihan semula dan mengambil peluang menjana pendapatan, dengan tumpuan untuk menyokong pekerja Gig (sambilan), PMKS dan juga mereka yang menganggur;
  • Sesi webinar mengenai pengurusan kewangan peribadi, merangkumi isu semasa tentang pengurusan wang dan hutang, perlindungan insurans dan takaful, mendidik keluarga supaya celik kewangan dan banyak lagi;
  • Sesi rundingan perancangan kewangan dalam talian secara bersemuka dan percuma bersama-sama perancang kewangan berlesen; dan
  • Program literasi kewangan untuk murid sekolah, termasuk sudut kanak-kanak yang menyediakan pelbagai aktiviti celik kewangan yang menarik dan interaktif, termasuk program istimewa yang memaparkan koleksi karikatur Datuk Lat melalui pameran LATerasi Kewangan secara maya.

Semua aktiviti adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai. Pengunjung boleh mendaftar melalui www.fenetwork.my.

DITERBITKAN OLEH BANK NEGARA MALAYSIA DAN SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA, PENGERUSI BERSAMA JARINGAN PENDIDIKAN KEWANGAN

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN)
FEN ditubuhkan pada bulan November 2016 sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan dan mengenal pasti peluang baru bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui penjajaran yang lebih besar, kerjasama erat dan lebih tumpuan terhadap penilaian impak. Anggotanya terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.




Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup