CAPITALSHARE FUND TIDAK DILULUSKAN OLEH SC

Kuala Lumpur, 21 Disember 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin menekankan kepada para pelabur yang telah dan mungkin berhasrat untuk melabur dalam Capitalshare Fund (CF) yang ditawarkan melalui internet, bahawa dana tersebut tidak mendapat kelulusan SC.

CF adalah dana mutual persisiran terbuka yang mengandungi enam dana yang berbeza yang diurus oleh Capitalshare, sebuah syarikat pengurusan pelaburan yang didaftarkan di Kepulauan Cayman. Enam dana tersebut adalah Fund America, Money Market, When Issued Fund, IPO Fund, Fund UK dan Fund EURO.

CF tidak mendapat kelulusan SC malah tiada cadangan telah dikemukakan untuk mendapat kelulusan daripada SC bagi menawarkan dana-dana tersebut kepada sesiapa di Malaysia.

Menurut seksyen 32 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, cadangan perlu dikemukakan kepada SC untuk kelulusan sebelum membuat tawaran bagi pelangganan atau pembelian atau membuat pelawaan untuk melanggan atau membeli sekuriti kepada sesiapa di Malaysia. Sebarang penawaran yang dibuat tanpa mendapat kelulusan tersebut adalah dianggap melanggar seksyen tersebut.

Siaran akhbar kami "Tawaran Utama Sekuriti melalui Internet" bertarikh 18 Ogos 1999 telah menekankan bahawa sesuatu penawaran sekuriti melalui Internet yang boleh diakses di Malaysia merupakan tawaran yang tertakluk kepada peruntukan Seksyen 32 di mana kelulusan daripada SC mesti diperolehi terlebih dahulu. Oleh itu, penawaran Capitalshare yang tidak diluluskan yang boleh diakses oleh sesiapa di Malaysia adalah melanggar seksyen 32.

Para pelabur harus ingat bahawa apa-apa pelaburan kewangan yang dilaburkan di dalam CF adalah dibuat di atas risiko sendiri. Pelabur-pelabur ini adalah tidak dilindungi oleh undang-undang sekuriti Malaysia yang berkaitan dengan penawaran sekuriti yang tidak diluluskan atau skim pelaburan yang diurus, kerana penawaran atau skim tersebut adalah tidak diperakui oleh SC.

Sebelum membuat apa-apa pelaburan di dalam saham, SC menasihatkan para pelabur supaya melindungi diri mereka dan memastikan pelaburan mereka selamat dengan:

  • mendapatkan nasihat daripada penasihat berlesen yang diluluskan dan diberi kuasa bagi pihak berkuasa tertentu apabila melabur di dalam mana-mana skim pelaburan; dan
  • membuat semakan dengan SC bagi memastikan sesuatu skim pelaburan, skim pelaburan yang diurus atau penasihat pelaburan telah mendapat kelulusan SC

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Hal-Ehwal Korporat SC di nombor telefon: 603-6548513 atau 8625/ nombor faksimili: 603-6515078/ e-mel: [email protected] untuk pertanyaan.

SC menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan skim-skim yang tidak diluluskan yang mungkin disebarkan melalui Internet, faksimili, risalah dan bentuk perantaraan lain. Para pelabur juga harus berhati-hati dalam menyalurkan wang mereka di dalam apa-apa bentuk skim pelaburan dengan menyemak dan memastikan peraturan tertentu telah dipatuhi dan kelulusan telah diperolehi daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-654 8625 (Soh Beng Choo)/ 03-654 8184 (Azmi Hariss Ibrahim) atau faks: 03-651 5078 atau e-mel [email protected]

Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup