Celaan Awam

Kuala Lumpur, 11 Julai 1997

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan ini mengenakan celaan kepada Olympia Industries Berhad (Olympia) dan Lembaga Pengarahnya kerana ketidak-patuhan kepada syarat bagi kelulusan yang telah diberikan oleh SC kepada Olympia berhubung dengan cadangan terbitan hak yang dilaksanakan pada tahun 1995.

2. Olympia telah diberi kelulusan bagi cadangan terbitan hak pada 8 November 1994 tertakluk kepada syarat-syarat, antara lainnya, bahawa hasil kutipan terbitan hak tersebut hendaklah digunakan bagi projek pembangunan utama Kumpulan Olympia termasuk projek penebusgunaan tanah, projek penswastaan Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan pembangunan hotel murah, perolehan sistem komputer dan modal kerja bagi syarikat-syarikat anak Kumpulan Olympia. Pada 31 Oktober 1996, Olympia mengemukakan permohonan untuk meminda penggunaan sebahagian besar daripada hasil kutipan terbitan hak tersebut bagi tujuan untuk perolehan hartanah, dikenali sebagai Plaza Raja Chulan. Olympia menyatakan kepada SC bahawa hasil kutipan terbitan hak sebanyak RM243 juta telah disimpan dalam akaun simpanan tetap sementara menunggu kelulusan SC bagi cadangan pindaan penggunaan terbitan hak tersebut. Sewaktu menimbangkan permohonan Olympia, SC mendapati bahawa hasil kutipan terbitan hak tersebut telah digunakan sebagai modal kerja di dalam Kumpulan Olympia. Olympia, oleh itu, telah melanggar salah satu daripada syarat kelulusan SC dengan menggunakan hasil kutipan terbitan hak tersebut untuk tujuan yang berlainan daripada yang telah diluluskan oleh SC. SC memandang serius terhadap ketidak-patuhan syarat-syarat kelulusan yang telah dikenakan tersebut. SC mengharapkan semua syarat-syarat yang dikenakan bagi kelulusan ke atas mana-mana cadangan korporat dipatuhi sepenuhnya oleh mana-mana syarikat pemohon yang berkaitan.

3. Olympia juga gagal mematuhi Garispanduan SC berhubung dengan pelaksanaan cadangan korporat di mana hasil kutipan terbitan hak hendaklah digunakan dalam tempoh masa 18 bulan dari tarikh kelulusan SC. Dalam keadaan ini, Olympia telah membiarkan tempoh masa bagi penggunaan hasil kutipan tersebut tamat tanpa memohon tempoh lanjutan masa kepada pihak SC. Menurut Garispanduan SC, permohonan bagi tempoh lanjutan masa untuk pelaksanaan cadangan-cadangan korporat hendaklah dibuat 14 hari sebelum jangkamasa kelulusan yang berkenaan tamat, di mana dalam kes ini ialah pada 8 Mei 1996. Olympia hanya mengemukakan permohonan bagi meminda penggunaan hasil kutipan terbitan hak pada 31 Oktober 1996 dan permohonan yang telah dikemukakan tersebut tidak lengkap kerana laporan-laporan penilaian bagi menyokong permohonannya hanya diterima pada 27 Januari 1997.

4. Olympia telah diberi peluang, melalui surat tunjuk sebab bertarikh 7 April 1997, untuk menjelaskan ketidak-patuhan mereka terhadap Garispanduan SC berhubung dengan tempoh masa bagi membuat permohonan untuk tempoh lanjutan masa dan kegagalan mengemukakan bukti berdokumen untuk menyokong kenyataannya bahawa hasil kutipan terbitan hak berkenaan telah disimpan dalam akaun simpanan tetap. Penjelasan Olympia, melalui surat bertarikh 21 April 1997, didapati tidak memuaskan. Olympia juga gagal memberi penjelasan yang munasabah mengenai ketidak-patuhan terhadap syarat penggunaan hasil kutipan terbitan hak seperti yang telah diluluskan.

5. Pihak SC ingin menegaskan di sini betapa pentingnya bagi syarikat-syarikat berhad dan pengarah-pengarahnya untuk mengekalkan tahap kawalan korporat ("corporate governance") serta pematuhan terma-terma dan syarat-syarat yang dikenakan oleh SC bagi kelulusannya ke atas mana-mana cadangan korporat. Para pengarah mempunyai tanggungjawab untuk menentukan pematuhan syarat-syarat tersebut kerana syarat-syarat sedemikian dikenakan bagi melindungi kepentingan pelabur-pelabur. Pihak SC diberi kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 untuk membatalkan mana-mana kelulusan bagi cadangan korporat yang telah diberikan kerana kegagalan mematuhi mana-mana syarat atau terma yang penting yang telah diluluskan oleh SC. Setelah mengambil kira penjelasan yang dikemukakan oleh Olympia dan keadaan kes ini, pihak SC telah membuat keputusan untuk mengenakan celaan kepada Olympia dan Lembaga Pengarahnya kerana ketidak-patuhan yang dinyatakan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup