Celaan Awam terhadap Aktif Lifestyle dan Lembaga Pengarahnya, Syarikat Dikehendaki Keluarkan Semula Akaun 2004

Kuala Lumpur, 28 April 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan celaan awam terhadap Aktif Lifestyle Corporation Berhad ( Aktif Lifestyle) dan Lembaga Pengarahnya dan telah mengarahkan syarikat tersebut mengeluarkan semula penyata kewangannya bagi tahun 2004.

Celaan awam tersebut, yang juga dikeluarkan terhadap Pengarah Aktif Lifestyle, Chan Teik Huat dan Faris Abdullah @ Patrick Chen, berkaitan dengan kegagalan syarikat itu dan pengarahnya untuk mematuhi Peraturan 4, Peraturan Perindustrian Sekuriti (Pematuhan dengan Piawaian Perakaunan yang Diluluskan) 1999 (Peraturan) yang melibatkan penyata kewangan 2004 Aktif Lifestyle.

Peraturan 4 secara prinsipnya menghendaki setiap syarikat tersenarai, pengarah dan ketua eksekutifnya memastikan bahawa penyata kewangan yang digabungkan bagi syarikat tersenarai disediakan mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan.

Di samping mengeluarkan semula penyata kewangan 2004, Aktif Lifestle juga dikehendaki membuat pengumuman yang sepatutnya kepada Bursa Malaysia Berhad berkenaan dengan pembetulan tersebut berserta alasan-alasan dan kesan (kewangan atau sebagainya) yang berkaitan.

Pelanggaran

Aktif Lifestyle telah melanggar Piawaian Pelaporan Kewangan (FRS) 122, Kombinasi Perniagaan (sebelum ini MASB 21) dengan menggunakan 1 Mac 2003 sebagai tarikh selesai penjualan subsidiarinya (Perjanjian Jual Beli Bersyarat telah dilaksanakan pada 31 Oktober 2003) dan bukannya pada 18 Jun 2004 seperti yang diperakui oleh pemeroleh dengan sokongan juruaudit, Ernst & Young.

Menurut FRS 122, tarikh selesai penjualan dan pembelian subsidiari-subsidiari yang digunakan oleh kedua-dua penjual dan pemeroleh mestilah sama dan tidak boleh dinyatakan pada tarikh terdahulu atau ditukarkan kepada tarikh lain.

Penyata kewangan 2004 Aktif Lifestyle telah disahkan oleh juruauditnya, serta Ernst & Young sebagai tidak benar dan adil (laporan audit bertentangan) berkaitan dengan penggunaan 1 Mac 2003 sebagai tarikh selesai penjualan tersebut.

Chan Teik Huat dan Faris Abdullah @ Patrick Chen merupakan dua pengarah yang menandatangani "Kenyataan oleh Pengarah", yang menyatakan bahawa penyata kewangan 2004 Aktif Lifesytle telah mematuhi piawaian perakaunan yang diluluskan.

Kesimpulan

SC memandang serius mana-mana ketidakpatuhan kepada Peraturan tersebut. Standard pelaporan kewangan yang tinggi adalah penting bagi menggalakkan integriti pasaran dan mempertingkat perlindungan pelabur. SC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas syarikat tersenarai dan pegawai-pegawainya atas kegagalan untuk mematuhi mana-mana peruntukan undang-undang sekuriti.

SC juga mengingatkan semua syarikat tersenarai yang lain dan pengarah mereka mengenai kepentingan untuk mematuhi semua piawaian pelaporan kewangan dan keperluan penzahiran dalam memastikan penyediaan maklumat kewangan yang tepat kepada para pelabur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Nota kepada Editor

  1. Ini merupakan tindakan kedua oleh SC pada tahun 2005 yang mana sebuah syarikat awam tersenarai (PLC) dikehendaki mengeluarkan semula akaunnya. Pada 24 Mac 2005, Oilcorp Berhad telah diarahkan untuk mengeluarkan semula akaunnya (lihat siaran akhbar SC bertarikh 28 Mac 2005).

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup