Celaan Awam terhadap F.C.H. Holdings Sdn Bhd dan Pengarahnya berkaitan dengan Cadangan Terbitan Hak Sinmah Resources Bhd

Kuala Lumpur, 11 Disember 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan ini mencela F.C.H Holdings Sdn Bhd (FCH) dan Pengarah FCH yang dinyatakan di bawah kerana ketidakpatuhan kepada peruntukan Polisi dan Garis Panduan mengenai Terbitan/Tawaran Sekuriti (Garis Panduan Terbitan) SC yang membabitkan kegagalan memenuhi perjanjian tak boleh batal yang diberikan oleh FCH, untuk melanggan haknya ke atas saham terbitan hak Sinmah Resources Berhad (Sinmah).

Pengarah FCH ketika pelanggaran Garis Panduan Terbitan tersebut pada 2 Mac 2001 ialah:

  1. Fong Choon Kai;
  2. Fong Kiah Yeow;
  3. Fong Kok Yong; dan
  4. Fong Ngan Teng.

Pada 5 Mac 2001, Southern Investment Bank Berhad, bagi pihak Sinmah, telah mengumumkan bahawa setakat 2 Mac 2001 (tarikh tutup penerimaan terbitan hak Sinmah), terbitan hak tersebut telah terkurang langgan sebanyak 97.81%. Dalam pengumuman yang sama, telah dinyatakan bahawa, FCH telah memaklumkan Lembaga Pengarah bahawa ia tidak boleh melanggan haknya dalam terbitan hak sebanyak 81,394,820 saham hak atas sebab tertentu.

Tindakan FCH tidak melanggan haknya adalah bercanggah dengan komitmennya, yang diberikan dalam bentuk perjanjian tak boleh batal untuk melanggan haknya. Secara keseluruhan, sesuatu perjanjian tak boleh batal, apabila telah diberikan, hendaklah ditepati dan dilaksanakan.

SC memandang serius kegagalan FCH untuk menepati perjanjian tak boleh batalnya yang tersebut di atas. Kegagalan sedemikian merupakan satu pelanggaran prinsip tadbir urus korporat yang baik yang menggambarkan tatalaku buruk FCH dan pengarahnya. FCH telah diberikan peluang yang secukupnya untuk menjelaskan kesnya kepada SC. Walau bagaimanapun, penjelasan yang diberikan oleh FCH adalah tidak memuaskan.

Sebagai tambahan kepada celaan awam itu, SC juga memutuskan untuk tidak mempertimbangkan, bagi tempoh tiga tahun dari tarikh pengumuman ini, mana-mana cadangan bawah Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, oleh mana-mana syarikat dan/atau perbadanan yang berkaitan dengannya (sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Syarikat 1965), yang mana FCH, Fong Choon Kai, Fong Kiah Yeow, Fong Kok Yong dan/atau Fong Ngan Teng (sama ada secara bersama atau berasingan) dan/atau penama mereka dan/atau mana-mana individu yang berhubungan dengan mereka, merupakan pengarah bagi, dan/atau mempunyai kepentingan substansial (tidak kurang daripada 5%) dalam modal diterbitkan dan berbayar syarikat tersebut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup