Menteri Kewangan, YB Tuan Lim Guan Eng berkata "Kami telah menyaksikan kemajuan dalam aspek kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah, dengan Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh peratus mata dalam penyertaan wanita dalam lembaga pengarah 100 syarikat tersenarai teratas, daripada 16.6% pada 2016 kepada 23.68% pada 2018. Kaum wanita juga kini memegang 28% daripada jawatan pengurusan kanan bagi semua syarikat tersenarai, lebih tinggi daripada purata di Asia Pasifik sebanyak 23%. Saya teruja dimaklumkan bahawa sejak Februari 2019, tiada lagi dalam 100 syarikat tersenarai (PLC) teratas yang lembaga pengarahnya dianggotai oleh semua lelaki, dan ini sememangnya menjadi teladan kepada PLC yang lain. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada SC dalam edisi pertama laporan ini dan kami akan menantikan edisi yang seterusnya."
Selain daripada kemajuan yang menggalakkan dalam penyertaan kaum wanita yang lebih besar dalam lembaga pengarah, Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar, berkata bahawa antara 36 amalan terbaik yang digariskan dalam MCCG, sebanyak 27 amalan mempunyai tahap penerimaan lebih daripada 70%.
"Malah, syarikat permodalan sederhana dan kecil merupakan antara perintis dalam penerimaan amalan terbaik CG tersebut. Kebanyakan syarikat ini telah melaksanakan amalan CG yang baik seperti penzahiran imbuhan pengurusan kanan, pengenalan had tempoh perkhidmatan selama 9 tahun bagi pengarah bebas dan mempunyai jawatankuasa audit yang bebas sepenuhnya. Ini menunjukkan bahawa kita sedang menuju ke arah yang betul melalui pengiktirafan yang lebih tinggi terhadap nilai pemakaian amalan CG yang baik, walaupun dalam kalangan syarikat yang lebih kecil," kata beliau.
Pengumuman CG Monitor ini dipermudahkan dengan memanfaatkan analisis lanjutan sejajar dengan Keutamaan Tadbir Urus Korporat SC (2017-2020). Ia telah membolehkan SC mendapat gambaran yang lebih mendalam tentang kemajuan dan cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat tersenarai dalam melaksanakan amalan terbaik tadbir urus korporat. Pemerhatian ini akan membentuk cadangan dasar masa hadapan dan intervensi yang akan dilakukan untuk meningkatkan tadbir urus korporat di Malaysia.
CG Monitor 2019 mengetengahkan pemerhatian ke atas tiga semakan tematik mengenai pengarah bebas dengan tempoh khidmat yang panjang (dasar dan amalan), kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah dan imbuhan Ketua Pegawai Eksekutif bagi 100 syarikat tersenarai teratas.
Pada tahun ini, SC akan menyemak langkah-langkah pencegahan rasuah bagi syarikat tersenarai sebagai sebahagian daripada usahanya dalam pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan, yang telah mengenal pasti tadbir urus korporat sebagai salah satu daripada enam bidang keutamaan. Hasil semakan tersebut akan diumumkan dalam edisi 2020 CG Monitor nanti.
Untuk maklumat lanjut, muat turun Corporate Governance Monitor di www.sc.com.my