Dagangan niaga hadapan tidak sah: SC mendapatkan semula RM2.3 juta daripada tujuh individu
9 Ogos 2012   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah berjaya memperoleh satu penghakiman daripada Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu lalu yang menyaksikan tujuh individu yang terbabit dalam aktiviti dagangan niaga hadapan tidak sah bersetuju untuk membayar sejumlah RM2.3 juta, iaitu amaun yang diperoleh mereka daripada orang ramai dan dituntut oleh SC daripada mereka.

Hakim Mahkamah tinggi Dato’ Mary Lim Thiam Suan memerintahkan supaya kesemua jumlah yang diserahkan kepada SC itu dikembalikan kepada pelabur yang terbabit mengikut budi bicara SC. Defendan pula diperintahkan supaya membayar kos kepada SC.

Penghakiman tersebut diperoleh selepas kes itu mula dibicarakan dan sembilan saksi telah memberikan keterangan masing-masing termasuk tujuh orang awam.

Pada bulan April 2011, SC telah mengambil tindakan terhadap Ahmad Nazmi bin Mohamed, Mohd Shahrul Firdaus bin Zakaria, Mohd Khalid bin Sujud, Fakhrul Arif bin Ahmad Husni, Fakhrul Mukmin bin Ahmad Husni, Fakrul Razi bin Ahmad Husni dan Ahmad Fauzi bin Ambran kerana kesalahan melanggar undang-undang sekuriti yang berkaitan dengan pelesenan dan aktiviti yang dikawal selia. SC telah menyaman ketujuh-tujuh mereka kerana mendapatkan wang daripada orang ramai yang kononnya bertujuan bagi dagangan kontrak niaga hadapan sedangkan sebenarnya mereka tidak diberikan lesen oleh SC untuk berbuat demikian.

SC secara proaktif membanteras aktiviti tidak berlesen dan akan terus mengambil tindakan yang perlu bagi menjaga supaya pasaran modal kekal adil dan teratur. Pada masa yang sama, pelabur digesa supaya sentiasa berhati-hati dalam membuat pelaburan dan perlu membuat penyelidikan rapi sebelum melabur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup