Di bawah seksyen 188
Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), kesalahan dagangan orang dalam boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
Tan Bee Hong telah disabitkan dengan kesalahan dagangan orang dalam kerana didapati telah menjual sebanyak 350,000 saham APLI ketika memiliki maklumat material bukan awam. Saudara perempuannya, Tan Bee Geok, yang ketika itu merupakan pengarah eksekutif APLI yang bertanggungjawab ke atas kewangan syarikat, telah disabitkan kesalahan kerana menyampaikan maklumat bukan awam tersebut kepadanya antara 23 Oktober 2007 dan 31 Oktober 2007.
Tan Bee Geok telah memaklumkan kepada saudara perempuannya mengenai pelarasan audit yang dicadangkan oleh juruaudit APLI, yang menyebabkan APLI melaporkan kerugian yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007 berbanding dengan keputusan suku tahun keempat belum diaudit yang dilaporkan sebelumnya bagi tahun kewangan yang sama. Pelarasan audit tersebut telah menyebabkan APLI diklasifikasikan sebagai syarikat PN 17. APLI membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia mengenai pelarasan audit tersebut dan pengklasifikasiannya sebagai syarikat PN 17 pada 31 Oktober 2007.
Kedua beradik tersebut dibicarakan bersama dalam satu perbicaraan penuh, melibatkan 13 orang saksi pihak pendakwaan dan empat saksi pihak pembelaan.
Dalam satu lagi kes, Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Dato' Seri Stanley Thai Kim Sim untuk dilantik semula sebagai pengarah Supermax Corporation Bhd. Permohonan itu dibuat oleh Thai selepas dia dibatalkan kelayakan sebagai pengarah Supermax berikutan sabitan kesalahan dagangan orang pada November 2017.