Suruhanjaya memandang langkah berikut ini sebagai perkembangan penting dalam menyelesaikan secara efektif dan tepat pada masanya, segala masalah yang dihadapi oleh broker bermasalah. Perkembangan ini adalah sejajar dengan tujuan skim broker yang diumumkan oleh SC pada 3 November 1998, iaitu untuk menyediakan jawapan kepada masalah yang dihadapi oleh broker saham bermasalah kepada industri secara menyeluruh, dan untuk memastikan pengukuhan dan penggabungan industri secara menyeluruh. Danaharta telah membuat pelantikan ini di bawah kuasa berkanunnya dengan kelulusan daripada SC menurut keperluan seksyen 27 Akta Pengurusan Danaharta Nasional Berhad 1998.
Pentadbir Khas akan mengambil alih pengawalan dan pengurusan aset dan hal ehwal syarikat broker saham, dan akan menyediakan cadangan rangka kerja bagi memaksimumkan nilai setiap syarikat. Seperti juga syarikat broker saham di bawah Pentadbir Khas, cadangan rangka kerja dijangka akan diserahkan kepada SC untuk kelulusan.
Setakat ini, SC telah meluluskan cadangan rangka kerja yang disediakan oleh Pentadbir Khas Capitalcorp Securities Sdn Bhd (Capitalcorp), yang telah diselesaikan dalam masa dua bulan daripada tarikh pelantikan Pentadbir Khas. Cadangan rangka kerja Capitalcorp telah diperkenalkan oleh Pentadbir Khas dan diluluskan oleh pemberi hutang yang terjamin pada 16 Mac 1999.
Dengan kelulusan rangka kerja Capitalcorp, SC yakin bahawa enam syarikat broker saham di bawah Pentadbiran Khas akan juga menghasilkan penyelesaian yang tepat pada waktunya. Setakat ini, SC berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh skim broker yang telah dilaksanakan bersama Danaharta.
Sebagai pihak berkuasa pelesenan syarikat broker saham menurut Akta Perindustrian Sekuriti 1983, SC akan mengkaji secara terperinci cadangan rangka kerja untuk memastikan objektif skim dicapai, dan membolehkan sekatan dagangan dimansuhkan secepat mungkin. Pelantikan Pentadbir Khas tidak akan memberi kesan terhadap operasi dagangan broker, yang akan berterusan seperti biasa menurut mana-mana sekatan dagangan yang dikenakan sebelum ini. Pentadbir Khas ini, dibantu oleh wakil daripada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), akan bersama-sama menangani segala pertanyaan yang bakal timbul.
SC dan BSKL akan mengambil langkah tertentu untuk memastikan hal perlindungan pelabur akan diberi perhatian dan tidak akan bertolak ansur tentang kestabilan sistemik. Kumpulan Petugas Khas diketuai oleh SC dan termasuk wakil daripada BSKL dan Danaharta akan terus mengkaji pelaksanaan skim broker.